ADA pihak yang cuba menggambarkan kegagalan meminda Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri sebagai tamparan politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Naratif itu adalah tidak berasas dan sama sekali tidak tepat.
Mari perhalusi. Pertama, kita mesti membezakan dua perkara yang berbeza sifatnya iaitu pindaan Perlembagaan dan keabsahan jawatan Perdana Menteri.
Di bawah Perkara 159(3), sebarang pindaan memerlukan sokongan tidak kurang daripada dua pertiga jumlah ahli Dewan Rakyat iaitu bersamaan sekurang-kurangnya 148 (2/3) undi.
Sebaliknya, keabsahan Perdana Menteri ditentukan oleh Perkara 43(2)(a). Iaitu seseorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat YDPA mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Majoriti mudahnya ialah 112 daripada 222 kerusi.
Dapat gambaran? Ini dua landasan yang berbeza sama sekali.
Satu soal reformasi struktur Perlembagaan, satu lagi soal keabsahan politik dan kepercayaan majoriti.
Dari sudut perspektif politik, jumlah undi 146 (kurang 2 untuk mendapat 2/3) ini signifikan jika dibandingkan dengan detik awal pembentukan kerajaan pasca-PRU15 pada November 2022.
Ketika itu, kerajaan perpaduan yang menggabungkan PH, BN, GPS, GRS dan parti-parti lain terbentuk dalam suasana Parlimen tergantung.
Kedudukan awalnya dibina atas sokongan majoriti mudah.
Kini, apabila satu usul mendapat 146 undi, ianya memberi isyarat jelas dan tegas secara langsung, bahawa blok sokongan terhadap PMX bukan sahaja kekal, malah menunjukkan tahap kohesi yang lebih tersusun berbanding fasa permulaan.
Apa nak dikata? PMX telah memberikan usaha yang tidak berbelah bahagi, PH 100 peratus hadir dan sokong walaupun ada 8 MP gagal mencapai kata sepakat.
Manakala, pembangkang pula kelihatan tidak berminat untuk menyokong reformasi ini. Mungkin ada yang bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri tanpa had masa. Mungkin.
Apa pun itu, kegagalan meminda Perlembagaan dalam isu had tempoh jawatan tidak menghakis legitimasi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PMX dan Perdana Menteri boleh terus berkhidmat tanpa had masa.
Mengenali peribadi Anwar, usul ini pastinya akan dibawa semula ke mana-mana sidang yang akan datang.
Berhentilah mendendangkan naratif sesat, rakyat hari ini semakin celik akan perlembagaan negara.
*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)



