Ambil tindakan tegas terhadap pihak menghina agama Islam

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah secara tegas mengingatkan bahawa sebarang perbuatan menghina Islam, mencabar kesuciannya atau menyemai kebencian terhadap agama Allah tidak boleh dipandang ringan.

Baginda bertitah, tindakan setimpal perlu dikenakan terhadap pihak terlibat mengikut peruntukan undang-undang negara.

“Islam sebagai agama Persekutuan mempunyai kedudukan istimewa dan wajib dihormati oleh semua pihak.

“Justeru, sebarang bentuk provokasi, penghinaan atau tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama perlu ditangani secara tegas serta berlandaskan prinsip keadilan,” baginda bertitah demikian dalam satu hantaran di laman rasmi Kesultanan Pahang, hari ini.

Tegas Al-Sultan Abdullah, pihak berkuasa wajib bertindak tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati bersalah.

Titah baginda, setiap tindakan hendaklah dilaksanakan secara adil, saksama dan berhemah.

Baginda bertitah, penguatkuasaan undang-undang tidak seharusnya didorong oleh emosi atau tekanan mana-mana pihak, sebaliknya mestilah berasaskan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang yang jelas.

“Ambillah tindakan yang tegas tetapi biarlah adil. Berikan pengajaran sewajarnya tanpa membakar emosi mana-mana pihak serta pastikan keadilan ditegakkan demi kestabilan negara tercinta,” titah baginda.

Mengulas kejadian baru-baru ini, Al-Sultan Abdullah bertitah ia mampu menggugat keharmonian dan ketenteraman di negeri ini.

Baginda turut mengingatkan bahawa keharmonian dan keamanan yang dinikmati adalah tanggungjawab bersama.

“Sebarang isu berkaitan agama hendaklah ditangani dengan penuh kebijaksanaan agar tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda tertentu,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah juga menegaskan bahawa golongan yang paling perlu memainkan peranan dalam perkara ini ialah kerajaan dan para pemimpin di semua peringkat.

“Mereka perlu menunjukkan contoh kepimpinan yang matang, berintegriti dan berprinsip dalam mempertahankan kesucian agama serta memastikan setiap tindakan yang diambil mematuhi undang-undang dan menjunjung tinggi prinsip keadilan,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar semua pihak dapat menghormati sensitiviti agama serta bersama-sama memelihara keharmonian yang telah sekian lama menjadi asas kekuatan negara.

Related Posts

Dua maut dalam kemalangan berasingan di Batu Pahat

BATU PAHAT – Dua individu, termasuk seorang wanita, maut dalam dua kemalangan jalan raya berasingan yang berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan di daerah ini awal pagi tadi. Kedua-dua kejadian yang berlaku…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Agong terima menghadap, santap sarapan bersama Perdana Menteri

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pagi ini. Seri Paduka Baginda dan Perdana Menteri turut santap bersarapan bersama sempena cuti…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Dua maut dalam kemalangan berasingan di Batu Pahat

Dua maut dalam kemalangan berasingan di Batu Pahat

Sistem pendigitalan jadikan Baucar Buku MADANI rekod pencapaian luar biasa

Sistem pendigitalan jadikan Baucar Buku MADANI rekod pencapaian luar biasa

Agong terima menghadap, santap sarapan bersama Perdana Menteri

Agong terima menghadap, santap sarapan bersama Perdana Menteri

Tiada campur tangan pihak luar hentikan filem Konspirasi

Tiada campur tangan pihak luar hentikan filem Konspirasi

Hayati nilai luhur, kasih sayang dalam hidup bermasyarakat

Hayati nilai luhur, kasih sayang dalam hidup bermasyarakat

Marina Ibrahim umum undur diri daripada politik, mahu kembali berkhidmat di lapangan

Marina Ibrahim umum undur diri daripada politik, mahu kembali berkhidmat di lapangan