Mahkamah benar tuntutan Petronas, hak PETROS di bawah DGO 2016 tidak terjejas

KUCHING – Mahkamah Tinggi pada Rabu menolak permohonan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) yang mahu menghalang Petroliam Nasional Berhad (Petronas) daripada menuntut jaminan bank bernilai RM7.95 juta.

Hakim Datuk Faridz Gohim Abdullah dalam keputusannya menjelaskan, tuntutan yang dibuat oleh Petronas itu adalah sah dan tidak melanggar mana-mana undang-undang.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat kerana jaminan bank tersebut bersifat ‘atas tuntutan’ dan tanpa syarat. Ini bermakna Petronas berhak menuntut wang tersebut pada bila-bila masa hanya dengan menghantar notis bertulis.

Tambahnya lagi, usaha mahu menyekat tuntutan itu menerusi perintah mahkamah sudah tidak relevan dan praktikal. Hal ini kerana wang jaminan bank tersebut sebenarnya telah pun diterima dan digunakan.

Susulan keputusan itu, Petronas dalam satu kenyataan ringkas memberitahu pihaknya mengambil maklum dan menghormati ketetapan mahkamah berkenaan.

Syarikat minyak dan gas negara itu turut memberi jaminan bahawa operasi mereka berjalan lancar seperti biasa tanpa gangguan. Fokus utama Petronas kini adalah untuk terus memenuhi tanggungjawab kepada pelanggan, rakan kerjasama, pemegang saham serta masyarakat.

Sementara itu, PETROS dalam satu kenyataan berasingan menegaskan, keputusan mahkamah hari ini hanyalah berdasarkan isu teknikal yang mengaitkan jaminan bank di bawah Perjanjian Jualan Gas (GSA) Sarawak.

Kata syarikat itu, Mahkamah Tinggi tidak membuat sebarang keputusan tentang sah atau tidaknya undang-undang berkaitan GSA Sarawak itu sendiri. 

Mahkamah juga tidak menyentuh isu perlembagaan berhubung Ordinan Pengedaran Gas 2016 (DGO 2016).

“Keputusan hari ini sama sekali tidak menghalang PETROS daripada mengambil tindakan undang-undang seterusnya bagi memperjelaskan hak serta kedudukan kami di bawah ordinan berkenaan.

“PETROS akan meneliti alasan penghakiman secara terperinci dan mempertimbangkan langkah undang-undang yang sewajarnya selepas ini,” kata kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menasihatkan orang awam agar tidak terkeliru antara keputusan kes tersebut dengan tindakan perundangan kerajaan negeri.

Tegas beliau, pertikaian melibatkan PETROS dan Petronas adalah isu komersial semata-mata, sedangkan petisyen yang difailkan oleh Sarawak di Mahkamah Persekutuan mempunyai matlamat yang jauh berbeza.

Menurutnya, langkah kerajaan negeri itu secara khusus bertujuan menuntut kejelasan dan tafsiran muktamad berhubung sempadan kuasa antara kerajaan negeri dengan Persekutuan.

“Sebagai rakyat, kita akur dan menghormati keputusan mahkamah berhubung kes komersial yang dibawa oleh kedua-dua syarikat berkenaan.

“Bagaimanapun, ia sama sekali tidak terkait atau memberi sebarang kesan terhadap petisyen yang kita failkan. Kedua-duanya adalah isu yang berbeza dan keputusan kes komersial itu tidak akan mempengaruhi petisyen Sarawak,” jelasnya.

Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

Related Posts

Kundasang berpotensi sebagai hab benih bawang merah negara

KUNDASANG – Projek Pengeluaran Benih Bawang Merah yang dibangunkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Kampung Mesilou berpontensi menjadi hab pengeluaran strategik negara dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap…

Lebih lanjut

teruskan membaca
UMS perluas potensi sagu sebagai makanan masa depan menerusi pendekatan psikologi dan STEM

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperluas usaha memartabatkan makanan tradisional Sabah dengan memperkenalkan pendekatan psikologi dan Science, Technology, Engineering, Mathematics (STEM) bagi meningkatkan kesedaran serta sikap positif…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kundasang berpotensi sebagai hab benih bawang merah negara

Kundasang berpotensi sebagai hab benih bawang merah negara

UMS perluas potensi sagu sebagai makanan masa depan menerusi pendekatan psikologi dan STEM

UMS perluas potensi sagu sebagai makanan masa depan menerusi pendekatan psikologi dan STEM

Bengkel lilin aromaterapi sempena KAWAN Jerantut dapat sambutan

Bengkel lilin aromaterapi sempena KAWAN Jerantut dapat sambutan

Lelaki OKU mental hilang sejak Sabtu, operasi SAR dilaksana

Lelaki OKU mental hilang sejak Sabtu, operasi SAR dilaksana

Warga emas hilang mencari sarang burung walit belum ditemukan

Warga emas hilang mencari sarang burung walit belum ditemukan

Video viral, dua lelaki disyaki cuba curi kabel Telekom ditahan

Video viral, dua lelaki disyaki cuba curi kabel Telekom ditahan