
KUALA LUMPUR – Ringgit meneruskan momentum positif apabila dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini, disokong sentimen pasaran pertukaran asing yang mengambil kira data makroekonomi Malaysia yang menggalakkan serta perkembangan terkini berkaitan tarif.
Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan itu meningkat kepada 3.8790/9010 berbanding dolar AS daripada 3.8885/8925 ketika ditutup semalam.
Paras berkenaan adalah yang tertinggi sejak 13 April 2018 apabila ringgit berada pada 3.8785/8815 berbanding dolar AS.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit sudah meningkat 0.31 peratus berbanding dolar AS sejak Isnin selepas mata wang Amerika itu menembusi paras psikologi RM3.90 susulan keputusan Mahkamah Agung AS pada Jumaat lalu.
“Pada ketika ini, paras sokongan bagi ringgit berbanding dolar AS adalah pada RM3.8722.
“Kami melihat pasaran pertukaran asing telah mengambil kira data makroekonomi Malaysia yang positif serta perkembangan terkini berkaitan tarif.
“Sehubungan itu, kami menjangkakan ringgit akan bergerak mendatar dalam tempoh terdekat,” katanya.
Beliau berkata, ketidaktentuan dasar perdagangan AS serta perkembangan geopolitik membabitkan rundingan AS-Iran yang dijadualkan pada Khamis terus mempengaruhi sentimen pasaran.
“Rundingan AS-Iran serta peningkatan aset ketenteraan AS di Asia Barat telah menyebabkan minyak mentah Brent kekal melebihi AS$70 setong kebelakangan ini.
“Pedagang akan memantau rapat perkembangan geopolitik kerana tempoh 10 hingga 15 hari yang ditetapkan oleh Presiden AS, Donald Trump, untuk memuktamadkan rundingan nuklear boleh menggugat sentimen pasaran,” tambahnya.
Pada pembukaan dagangan, ringgit turut diniagakan lebih kukuh berbanding beberapa mata wang utama dunia.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5076/5220 daripada 2.5120/5147 pada penutupan Isnin, mengukuh berbanding euro kepada 4.5745/6004 daripada 4.5888/5935 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.2347/2644 daripada 5.2526/2580.
Ringgit turut mencatat prestasi lebih baik berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit tempatan itu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0633/0809 daripada 3.0727/0761, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.5177/5969 daripada 12.5342/5532, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 230.8/232.2 daripada 231.4/231.7 serta sedikit meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.73/6.78 daripada 6.75/6.76.




