
RANAU – Lebih 100 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan ke dua kawasan terjejas banjir di daerah Pitas dan Beluran.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, aset yang digunakan ketika ini ialah kenderaan berat dan bot bagi membantu operasi menyelamat serta kebajikan mangsa banjir.
“Sekarang ini kita ‘deploy’ anggota untuk dua kawasan tersebut lebih daripada 100 orang.
“Aset yang kita gunakan cuma kenderaan berat dan juga bot untuk membantu mangsa banjir,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri Majlis berbuka puasa bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Masidi Manjun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, pada Sabtu.
Tambah Jauteh, terdapat beberapa lokasi yang belum dapat dihubungi berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
“Walaupun demikian, insya-Allah dan Alhamdulillah semua dapat kita tangani.
“Semua agensi terlibat berusaha sedaya upaya memastikan semua mangsa mendapat kebajikan yang baik,” katanya.
Mengulas lanjut kemungkinan penggunaan aset udara PDRM, beliau berkata ia akan digunakan untuk penghantaran makanan sekiranya keadaan mengizinkan.
“Aset udara ini kita akan gunakan untuk menghantar makanan, namun bergantung kepada keadaan sama ada kita boleh mendarat atau tidak.
“Keadaan banjir menyebabkan kawasan tanah rata yang sesuai untuk pendaratan turut terjejas. Jika bantuan tidak dapat sampai ke lokasi, kita juga menghadapi masalah untuk menghantar melalui darat,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Op Selamat berjalan lancar setakat ini dan sehingga semalam tiada kes kemalangan maut direkodkan sepanjang operasi berkenaan.
“Tahun lalu dalam tempoh sama ada kes kemalangan maut direkodkan. Tahun ini setakat semalam Alhamdulillah, tiada.
“Ini petanda masyarakat semakin peka dan mengambil kira saranan pihak berkuasa. Kesedaran diri sendiri itu paling penting untuk memastikan keselamatan di jalan raya,” katanya.





