
SEMPORNA – Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna (PUSPABUMI) mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas bagi meneliti serta menyelesaikan isu pelesenan dan permohonan tanah yang membelenggu pengusaha pelancongan bumiputera di daerah ini.
Timbalan Pengerusinya, Suffian Ahmad berkata, isu pelesenan dan tanah memberi impak besar khususnya kepada pengusaha kecil dan sederhana yang berdepan kekangan kewangan serta prosedur pentadbiran yang rumit.
Katanya, selain penubuhan jawatankuasa khas, mewujudkan pejabat Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) di Semporna juga mampu membantu mempercepat proses kelulusan dan mengurangkan beban pengusaha kecil serta sederhana.
“Ketika ini pengusaha perlu ke Tawau bagi mendapatkan pengesahan dan memproses permohonan tanah sekali gus menyebabkan kelewatan kelulusan.
“Permohonan tanah di Sabah sangat tinggi, tetapi Semporna tiada JTU sendiri.
“Jika diwujudkan pejabat itu di daerah ini, proses permohonan dapat dipercepatkan dan tidak lagi membebankan pengusaha ke luar daerah,” katanya kepada media, pada Khamis.
Sehubungan itu, Suffian berharap agar Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan langkah berkenaan bagi membantu kelangsungan pengusaha pelancongan bumiputera di daerah itu.
“Kami mengalu-alukan penubuhan pasukan petugas khas oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), namun dalam masa sama memohon supaya kerajaan membantu mempermudahkan urusan pelesenan serta permohonan tanah.
“Ramai pengusaha bumiputera bermula secara kecil-kecilan. Kewangan terhad dan proses yang panjang menyukarkan mereka untuk bersaing, lebih-lebih lagi apabila terdapat banyak pengusaha asing beroperasi di Semporna,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PUSPABUMI, Salleh Abdul Salleh berkata, tindakan penguatkuasaan melalui pasukan petugas perlu disertai pendekatan rundingan bersama pengusaha pelancongan tempatan sebelum sebarang tindakan tegas diambil.
Menurutnya, isu utama ialah status Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang kebanyakannya diluluskan dalam tempoh singkat iaitu dua hingga tiga tahun, sementara Majlis Daerah tidak dapat mengeluarkan lesen operasi jika status tanah masih bersifat sementara.
“Masalah ini bukan kerana pengusaha tidak mahu patuh undang-undang, tetapi disebabkan struktur pentadbiran dan proses kelulusan yang mengambil masa lama.
“Ada baiknya tempoh TOL dilanjutkan antara 10 hingga 30 tahun supaya pengusaha boleh mendapatkan lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.







