IPOH – Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan RM20 juta kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) di seluruh negara bagi menaik taraf kemudahan serta memenuhi keperluan asas sekolah.
Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menegaskan langkah berkenaan mencerminkan kesungguhan kerajaan memperkukuh bidang pendidikan selain memastikan prasarana sekolah terus dipertingkatkan selari dengan gagasan Malaysia MADANI.
Sebelum ini, sebanyak RM80 juta diperuntukkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh negara.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika merasmikan Majlis Sumbangan Kasih MADANI Parlimen Tambun sempena Tahun Baharu Cina dan Ramadan di SMJKC Yuk Choy, di sini, hari ini.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, dana tambahan RM20 juta berkenaan akan dimanfaatkan untuk kerja pembaikan serta naik taraf sekolah mengikut keutamaan dan keperluan semasa.
“Hari ini sempena hari raya Cina, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk umumkan semua sekolah-sekolah Cina untuk dapat sedikit lagi tambahan bila ada keperluan, sama ada bagi kemudahan asas dan sebagainya.
“Kita berikan tambahan selain daripada RM80 juta yang sudah diluluskan, sempena menghormati rakan-rakan dan sahabat handai kita masyarakat Cina maka saya tambah RM20 juta (bagi SMJKC),” katanya.
Pada majlis sama, bantuan tunai RM300 disampaikan kepada 3,000 murid daripada 16 sekolah sekitar Parlimen Tambun.
Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; serta Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan pendidikan perlu berperanan membentuk insan berakhlak yang saling menghormati tanpa menjadikan perbezaan kaum atau warna kulit sebagai punca permusuhan.
Beliau berkata, insiden buli yang berlaku di sekolah memperlihatkan kegagalan melahirkan individu yang bebas daripada sifat angkuh dan tidak beretika.
“Belanja ini ratusan juta ringgit nak kena tambah. Tapi kalau kita hasilkan manusia yang sombong, tiada akhlak, tiada nilai, maka tidak akan ada faedah,” katanya.



