
KABONG – Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan polis selepas disyaki melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan dinding sebuah rumah kediaman, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kejadian melibatkan sebuah rumah lama milik seorang warga emas berusia 71 tahun yang mengalami kerosakan pada dinding asbestos.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 8 Februari lalu sekitar jam 10 pagi selepas pengadu dimaklumkan oleh jiran, dinding rumahnya telah dipecahkan oleh anak lelakinya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, susulan laporan yang dibuat di Balai Polis Kabong, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah Saratok yang diketuai oleh Inspektor Henry Muji telah menjalankan tangkapan terhadap suspek pada hari yang sama.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. Suspek juga mempunyai tujuh rekod jenayah lampau,” jelasnya.
Mathew berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan menyebabkan kerosakan harta benda.
Beliau menambah, permohonan tahanan reman telah dibuat bagi membantu siasatan lanjut, dan kes kini diklasifikasikan sebagai selesai selepas tangkapan berjaya dilakukan.




