
KABINET menerima dan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengembalikan penggunaan perkataan ‘menyinggung’ dan ‘menjengkelkan’ dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) selepas mahkamah tertinggi itu memutuskan kedua-duanya tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh Mahkamah Persekutuan dan mengesahkan kesahihan peruntukan berkenaan.
“Pagi tadi, ada keputusan di Mahkamah Persekutuan mengenai kes yang dibawa oleh seorang aktivis di mana Mahkamah Persekutuan secara sebulat suara memutuskan perkataan menghina dan menjelikkan, Seksyen 233 AKM adalah sah dan berperlembagaan.
“Jadi Jemaah Menteri menerima baik dan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk mengembalikan kedua-dua perkataan itu ke dalam peruntukan Seksyen 233 AKM selepas mendapati ia tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Seksyen 233 AKM memperuntukkan kesalahan jenayah terhadap mana-mana pihak yang menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi membuat komunikasi dalam talian yang bersifat lucah, tidak sopan, palsu, mengancam atau menyinggung perasaan, dengan niat untuk mengganggu, mendera, mengugut atau mengacau orang lain.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, kementeriannya telah membawa pindaan terhadap AKM pada 2024 bagi memastikan peruntukan undang-undang itu tidak disalahgunakan.
“Pindaan yang dibuat kini meletakkan bukan hanya satu standard ataupun satu tahap yang lebih tinggi, ia bukan lagi jelik tapi jelik melampau bersama dengan enam huraian yang sangat jelas menyatakan apakah sesuatu itu jelik ataupun jelik melampau.
“Kita percaya dengan pindaan ini insya-Allah Seksyen 233 AKM ini lebih sukar ataupun tidak begitu mudah untuk disalahgunakan,” katanya.
Untuk rekod, Mahkamah Rayuan tahun lalu memutuskan bahawa perkataan ‘menghina’ dan ‘menjengkelkan’ dalam Seksyen 233 AKM adalah tidak berperlembagaan, sekali gus membatalkannya selepas membenarkan rayuan aktivis, Heidy Quah, bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2023.




