
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah melancarkan Buku Sistem Jaminan Perundangan Kayu Sabah Plus (Sabah TLAS+) sebagai satu perintis yang membuktikan kesiapsiagaan negeri berdagang secara bertanggungjawab, melindungi hutan untuk generasi akan datang dan mengekalkan kedudukan sebagai peneraju yang dipercayai dalam ekonomi hijau global.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah TLAS+ merupakan sistem pertama di dunia yang menyelaraskan sepenuhnya aspek perundangan, keperluan bebas penebangan hutan di bawah Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), serta prinsip kelestarian sukarela dalam satu rangka kerja bersepadu.
“Ini meletakkan Sabah di barisan hadapan jangkaan peraturan dan pasaran global,” katanya.
Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun pada Majlis Pelancaran Buku Sabah TLAS+, di sini, pada Khamis.
Menurut Hajiji, buku itu juga sebagai tindak balas terhadap perkembangan pasaran antarabangsa, khususnya EUDR yang dijangka berkuat kuasa menjelang akhir 2026 yang menuntut produk kayu bukan sahaja sah dari segi undang-undang, malah bebas penebangan hutan, boleh dijejaki serta melalui penilaian risiko yang ketat.
“Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Perhutanan Sabah telah mengambil langkah proaktif dengan bekerjasama bersama Fasiliti Kerjasama Kesatuan Eropah–Malaysia pada tahun 2024 bagi menaik taraf sistem sedia ada kepada Sabah TLAS+.
“Peningkatan ini memastikan rangka kerja tadbir urus kita kekal sejajar dengan piawaian antarabangsa, di samping memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan integriti di sepanjang keseluruhan rantaian bekalan,” ujarnya.
Menurutnya, Sabah TLAS+ mengintegrasikan elemen tadbir urus termaju termasuk kebolehjejakan digital, geolokasi serta perlindungan sosial dan alam sekitar yang diperkukuh.
“Ia memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap keperluan bebas penebangan hutan dan bebas degradasi hutan.
“Selain itu, ia turut merangkumi prinsip sukarela yang sejajar dengan Arahan Ketekunan Wajar Kelestarian Korporat Kesatuan Eropah (EU CS3D), sekali gus memperkasa syarikat untuk memperkukuh pengurusan risiko hak asasi manusia dan alam sekitar selaras dengan jangkaan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) global,” jelasnya.
Tambahnya, secara praktikal, pengeluar kayu Sabah kini bukan sekadar memenuhi piawaian undang-undang minimum, malah dilengkapi keupayaan untuk membuktikan pematuhan yang telus dan bersedia ESG bagi pasaran dunia yang paling menuntut.
“Sabah kini terbuka untuk perniagaan lestari. Kayu-kayan kami adalah sah, boleh dijejaki, dihasilkan secara bertanggungjawab dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.


