
LIMBANG – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Limbang memastikan kesiapsiagaan anggotanya berada pada tahap optimum menerusi Ujian Kecergasan dan Fizikal bagi bulan Januari, baru-baru ini.
Program berkala itu melibatkan penyertaan anggota pasukan MyASPA bagi kategori P, C dan O.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang, Leftenan (PA) Jumaat Akasas berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah berterusan bagi memastikan setiap anggota bersedia digerakkan pada bila-bila masa.
“Ujian ini penting bagi menilai tahap kesiapsiagaan fizikal dan mental anggota agar sentiasa bersedia dalam apa jua situasi kecemasan atau bencana.
“Selain itu, ia memastikan tahap kesihatan anggota sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Jumaat, aspek kecergasan menjadi tunjang utama kepada keberkesanan penyampaian perkhidmatan APM ketika melaksanakan tugas di lapangan, khususnya semasa operasi menyelamat.
Jelas beliau, program seumpama itu bukan sahaja meningkatkan kecergasan, malah memupuk disiplin, semangat kerja berpasukan serta profesionalisme.
“APM Limbang komited memperkukuh keupayaan anggota melalui latihan berterusan demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” ujarnya.





