
KUANTAN – Proses pengambialihan empat lot tanah sedang dijalankan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerjasama kerajaan Pahang bagi memberi laluan kepada projek persimpangan bertingkat Jalan Panching FT02, dekat sini.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, selain pengambialihan lot tanah itu, sebanyak satu jejantas motosikal dan tiga tempat menunggu bas juga perlu dirobohkan, sebelum dibina semula selepas projek itu siap.
Beliau memaklumkan, semua perkara itu perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum kerja pembinaan projek persimpangan bertingkat berkenaan dapat dimulakan.
“Pembinaan persimpangan bertingkat ini antara perkara yang utama saya angkat selepas dipilih sebagai Ahli Parlimen Paya Besar dan Alhamdulillah, ia sudah semakin hampir menjadi kenyataan.
“Saya lihat projek ini sangat mendesak kerana laluan ini sudah mencapai tahap kesesakan agak luar biasa setiap kali hujung minggu, musim cuti umum dan cuti perayaan.
“Jadi, hari ini saya panggil semua pihak… kita ada wakil JKR Malaysia, syarikat kontraktor dilantik, pihak Majlis Bandaraya Kuantan, wakil Koridor Utiliti Pahang dan tidak lupa penduduk setempat.
“Tujuannya adalah untuk memberi ruang kepada semua pihak mendengar taklimat berkaitan projek dan bertanyakan apa saja soalan mengenai pelaksanaan projek ini,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Penerangan dan Pendengaran Awam Projek Persimpangan Bertingkat Jalan Panching di Masjid Nurul Aman, Taman Mahkota Aman, di sini, hari ini.
Kira-kira 100 penduduk setempat hadir pada sesi berkenaan yang bermula sekitar jam 10 pagi.
Turut serta Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar, Mustaqim Zakaria dan Penyelaras DUN Panching, Hasrul Afizan Mohd Din.
Ditanya mengenai kos dan tempoh pelaksanaan projek itu, Mohd Shahar memaklumkan, kontraktor dilantik diberi masa 36 bulan bagi menyiapkan persimpangan bertingkat sepanjang 1.5 kilometer itu.
Katanya, kos asas bagi projek itu ditetapkan sebanyak RM160 juta dan perlu disiapkan menjelang bulan Januari 2029.
“Kalau boleh disiapkan lebih awal, lagi bagus dan memang kita harap ia boleh disiapkan sebelum tarikh ditetapkan.
“… untuk kawasan Paya Besar ini, ada tiga lagi projek berkepentingan awam dalam perancangan kita, seperti pembinaan persimpangan bertingkat di Bukit Rangin, naik taraf jalan di Taman Tas dan juga Jalan Permatang Badak.
“Semua ini kita akan selesaikan secara berfasa… macam (persimpangan bertingkat) Bukit Rangin, kerajaan sudah meluluskan RM28 juta bagi tujuan kajian impak, penilaian dan juga mengenal pasti lot tanah yang akan terlibat dengan projek itu,” jelasnya.






