
SRI AMAN – Golongan wanita dinasihatkan sentiasa peka dan disaran melakukan pemeriksaan kanser pangkal rahim bagi pencegahan serta pengesanan awal kanser
serviks.
Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pemeriksaan dan ujian saringan terhadap penyakit ini sangat penting bagi membuat pengesanan awal kerana usaha ini mampu menyelamatkan nyawa apabila seseorang individu itu terus mendapatkan rawatan terbaik sekiranya disahkan menghidap kanser serviks.
Katanya, kaum wanita perlu merebut peluang dan mendapatkan khidmat secara percuma apabila pihak LPPKN mengadakan program-program seumpama ini di lokasi terpilih.

“Saya bagi contoh. Melalui kempen yang dilaksanakan di Lundu baru-baru ini, pihak kami telah mengesan beberapa kes kanser serviks. Ini membuktikan bahawa usaha pemeriksaan dan pencegahan awal memberi impak besar kepada kesihatan masyarakat.
“Kanser serviks masih boleh dirawat. Oleh itu, rebutlah peluang untuk melakukan pemeriksaan secara percuma sekiranya terdapat kempen-kempen kesedaran dianjurkan di kawasan anda termasuklah kawasan pedalaman,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Kebangsaan Tahun 2026, di sini, pada Ahad.
Jelasnya lagi, semua pihak perlulah bersama-sama menyampaikan maklumat mengenai kepentingan program kesedaran ini kepada komuniti di tempat masing-masing bagi memberi kefahaman dan pendedahan betapa pentingnya pengetahuan berkaitan penyakit ini dalam menyelamatkan nyawa orang tersayang.

Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks disambut pada bulan Januari setiap tahun di seluruh dunia. Sambutan ini bukan sahaja satu acara tahunan yang penting, malah berfungsi sebagai platform khususnya golongan wanita untuk lebih peka dan memahami kepentingan pencegahan serta pengesanan awal kanser serviks.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui LPPKN sentiasa memberikan perhatian berterusan terhadap kesejahteraan kesihatan wanita, sejajar dengan usaha memperkukuh pencegahan kanser serviks.






