
PUTATAN – Sebanyak 17 buah rumah jenis tidak kekal di kawasan perkampungan atas air di Kampung Dumpil, Putatan musnah dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku pada Khamis.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan hari ini, seramai 99 orang penduduk termasuk 29 kanak-kanak terjejas dan telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan PPR Sri Keramat.
Sementara itu, Komander Operasi, PBK I Marvin Domingo dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan berkata, kebakaran melibatkan 16 buah rumah dengan anggaran keluasan 20×30 kaki bagi setiap unit dan sebuah rumah bersaiz 20×40 kaki.
“Rumah bernombor 1 hingga 14 terbakar 100 peratus, rumah nombor 15 terbakar 50 peratus manakala rumah nombor 16 dan 17 masing-masing terbakar sekitar 10 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran sepanjang 300 kaki dengan lima pancutan air.
“Sumber air diperoleh daripada jentera Water Tanker JBPM serta sumber air terbuka dari sungai berhampiran.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran serta anggaran kerugian yang dialami oleh penduduk terlibat,” jelasnya.

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.04 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 12.51 tengah hari selepas pasukan memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian. Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.59 pagi sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian, pada jam 7.04 pagi, dengan jarak sekitar empat kilometer dari balai.
Seramai 22 anggota terlibat dalam operasi tersebut membabitkan BBP Putatan, BBP Kota Kinabalu dan BBP Penampang.
Agensi lain yang turut membantu ialah Sabah Electricity dengan dua anggota dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seramai tiga anggota.





