
TAWAU – Penganjuran pertandingan Pidato dan Kuiz Perhutanan menjadi platform penyampaian mesej dan maklumat tentang penjagaan hutan serta isu-isu perhutanan khususnya kepada pelajar sekolah.
Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) dalam satu kenyataan medianya berkata, pertandingan itu secara tidak langsung dapat membudayakan pemikiran kritis dan rasional dalam kalangan pelajar dan warga pendidik.
“Perkara ini juga akan menjadikan pelajar serta pendidik sebagai duta menyampaikan maklumat perhutanan yang tepat kepada masyarakat bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat kepada Jabatan Perhutanan Sabah.
“Program ini juga termasuk dalam inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) JPS bagi menangani persepsi negatif terhadap pengawalan jenayah perhutanan di Sabah,” kata kenyataan itu pada Rabu.
Pertandingan Pidato dan Kuiz bagi Wilayah Tawau itu disertai lima buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinabutan II, SMK Balung, SMK Kunak, SM Sains Lahad Datu dan SMK Datuk Haji Jakarullah Semporna.

Pertandingan sehari pada Rabu di sebuah hotel di Tawau itu dirasmikan Timbalan Ketua Konservator Hutan (Operasi) Jabatan Perhutanan Sabah, Zulkifli Suara.
Bagi pertandingan Pidato Perhutanan, SMK Datuk Haji Jakarullah muncul juara manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang SMK Balung dan SM Sains Lahad Datu.
Sementara itu, kuiz perhutanan dimenangi SMK Kunak, tempat kedua SMK Kinabutan II dan ketiga SM Sains Lahad Datu.







