RPN 2026–2035: Ibu bapa, guru minta penilaian teliti

KUCHING – Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 yang dilancarkan pada Selasa memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu bagi memperkukuh sistem pendidikan negara, termasuk cadangan membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun memasuki Darjah Satu bermula tahun 2027 melalui pendaftaran awal secara sukarela.

Inisiatif itu bagaimanapun menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat, khususnya pendidik dan ibu bapa, yang melihat pelaksanaannya mempunyai kelebihan tersendiri namun perlu dilaksanakan secara berhati-hati dan berperingkat.

Bagi Noorhasniza Hassan, 38, Guru Prasekolah di SK Felda Pasir Besar, berpandangan dasar tersebut membawa manfaat dari sudut pendedahan awal akademik, namun tidak terlepas daripada cabaran perkembangan kanak-kanak.

“Kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Darjah Satu mempunyai kebaikan dan keburukan. Antara kebaikannya ialah pendedahan awal kepada literasi dan numerasi selari dengan perkembangan teknologi, membantu penguasaan 3M (membaca, menulis, mengira) serta menyelaraskan sistem pendidikan negara dengan standard global,” katanya.

Menurut beliau, dasar itu juga berpotensi membolehkan murid bergraduasi dan memasuki pasaran kerja lebih awal, namun isu kematangan emosi dan sosial tidak boleh dipandang ringan.

“Cabaran utama ialah kanak-kanak masih berada dalam fasa belajar sambil bermain, wujud perbezaan perkembangan yang ketara antara murid serta risiko tekanan mental, keletihan dan hilang minat belajar. Beban kurikulum dan kesan fizikal seperti membawa beg sekolah juga perlu diberi perhatian,” ujarnya sambil menegaskan keperluan persediaan rapi sebelum dasar itu dilaksanakan.

Pandangan hampir sama disuarakan oleh Fatin Nadzwa Abdul Kadir, 32, Guru Prasekolah di SK Sungai Sugai, yang berpendapat usia enam tahun masih terlalu awal untuk pembelajaran formal sepenuhnya.

“Pada usia ini, kebanyakan kanak-kanak sedang membina emosi dan kemahiran sosial serta belajar melalui permainan. Prasekolah lebih sesuai kerana membantu perkembangan asas dan menyediakan peralihan yang lebih lembut ke alam persekolahan formal,” katanya.

Beliau berkata, kemasukan terlalu awal ke darjah satu berisiko menyebabkan tekanan, keletihan serta hilang minat belajar dalam kalangan murid.

“Walaupun polisi ini memberi pilihan kepada kanak-kanak yang benar-benar bersedia, ibu bapa tidak seharusnya tertekan mengikut trend. Setiap anak berkembang mengikut kadar sendiri dan kesejahteraan emosi serta kegembiraan dalam belajar perlu diutamakan,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Ak Mohd Azri Azwar, 33, penjawat awam dan merupakan seorang bapa, turut menyuarakan kebimbangan daripada sudut keibubapaan, khususnya berkaitan kesediaan mental dan emosi anak-anak.

“Tidak semua kanak-kanak berumur enam tahun bersedia menghadapi tekanan akademik, jadual persekolahan yang panjang serta persaingan dalam bilik darjah. Ibu bapa bimbang anak mudah tertekan, hilang minat belajar atau berasa rendah diri jika tidak dapat mengikuti pelajaran,” katanya.

Menurut beliau, perkembangan fizikal dan emosi kanak-kanak juga perlu diberi perhatian kerana pada usia tersebut mereka masih memerlukan pendekatan pembelajaran berasaskan bermain.

“Kanak-kanak sepatutnya diberi ruang untuk bermain, meneroka dan membina keyakinan diri sebelum didedahkan kepada pembelajaran akademik yang lebih serius,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan kemasukan darjah satu pada usia enam tahun hanya wajar dilaksanakan sekiranya tahap kesediaan anak dinilai secara menyeluruh.

“Ibu bapa berharap sistem pendidikan mengambil kira perbezaan perkembangan setiap kanak-kanak agar kesejahteraan emosi dan minat belajar mereka terus terpelihara,” katanya.

Dalam pada itu, bagi Nurul Farhanah Saffinye, 32, Guru Program Intervensi Awal di The National Autism Society of Malaysia (NASOM), melihat inisiatif tersebut sebagai satu pilihan yang positif sekiranya dilaksanakan dengan mekanisme penilaian yang jelas.

“Ini sebenarnya satu pilihan yang baik kerana anak-anak yang berkeupayaan untuk belajar dengan lebih mendalam dapat melangkah ke tahap pembelajaran dan silibus seterusnya,” ujarnya.

Beliau berkata, pendekatan itu memberi peluang kepada kanak-kanak menerima rangsangan akademik dan kemahiran sosial lebih awal, termasuk pembentukan disiplin diri.

“Namun demikian, penilaian yang teliti amat diperlukan bagi memastikan tiada kanak-kanak yang belum bersedia dimasukkan ke dalam sistem tersebut,” katanya.

Pelaksanaan inisiatif kemasukan murid berusia enam tahun ke darjah satu di bawah RPN 2026–2035 dijangka memerlukan kajian berterusan serta garis panduan yang jelas, khususnya dalam menilai tahap kesediaan kanak-kanak.

Pandangan pelbagai pihak menunjukkan bahawa kejayaan dasar ini bergantung kepada keseimbangan antara keperluan akademik dan perkembangan emosi, sosial serta fizikal murid agar matlamat pendidikan negara dapat dicapai secara inklusif dan berkesan.

Related Posts

Malaysia anjur DSA dan NATSEC 2026, himpun 1,456 syarikat global

KUALA LUMPUR – Lebih 1,456 syarikat dari 63 buah negara menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 bermula esok hingga Khamis ini. Menteri Pertahanan,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Iran tarik diri pameran DSA 2026

KUALA LUMPUR – Iran menyatakan hasrat menarik diri pada saat akhir daripada menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan National Security Asia (NATSEC Asia) 2026. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kg Bahagia digazet, buka laluan kepada pembangunan lebih sistematik

Kg Bahagia digazet, buka laluan kepada pembangunan lebih sistematik

3 maut ditembak dalam restoran

3 maut ditembak dalam restoran

PRU16: Harapan Rakyat kerjasama, pastikan kemenangan GRS

PRU16: Harapan Rakyat kerjasama, pastikan kemenangan GRS

Kebakaran Sandakan: 1,000 rumah terjejas, lebih 9,000 penduduk terlibat

Kebakaran Sandakan: 1,000 rumah terjejas, lebih 9,000 penduduk terlibat

Lelaki tempatan ditahan positif dadah dalam Operasi Khas di Roban

Lelaki tempatan ditahan positif dadah dalam Operasi Khas di Roban

UMNO Jerantut yakin mampu cabar pembangkang dalam PRU16

UMNO Jerantut yakin mampu cabar pembangkang dalam PRU16