
KOTA KINABALU – Kementerian Pendidikan Sains Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan 45,000 unit komputer riba daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi kegunaan sekolah-sekolah di negeri Sabah.
Menterinya, Datuk James Ratib berkata, Kerajaan Negeri Sabah akan berusaha mendapatkan kelulusan daripada MCMC bagi pelaksanaan inisiatif tersebut yang melibatkan peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.
“Komputer riba tersebut ditempatkan di sekolah serta diuruskan secara berpusat melalui kemudahan seperti bilik sumber bagi memastikan penggunaan yang berkesan dan adil.
“MCMC juga akan membekalkan papan pintar (smart board) bagi menyokong pembelajaran digital di dalam bilik darjah,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Tindakan Bantuan Komputer Riba, Starlink dan Panel Solar bagi Sekolah Rendah dan Menengah di Negeri Sabah, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, James berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) akan menyelaras dan merumuskan hasil perbincangan sebelum satu permohonan rasmi dikemukakan kepada MCMC untuk pertimbangan dan kelulusan.
Mengulas jumlah komputer riba yang dipohon, James berkata permohonan itu berdasarkan keperluan yang dikenal pasti oleh JPNS dan tertakluk kepada kelulusan MCMC.
Tambahnya, setakat ini anggaran kos keseluruhan masih belum dimuktamadkan, namun menyifatkan inisiatif tersebut sebagai satu sumbangan besar MCMC kepada pembangunan sektor pendidikan di Sabah.
James turut memaklumkan bahawa Sabah mempunyai kira-kira 1,300 buah sekolah dan sasaran jangka panjang kementerian adalah untuk melengkapkan bilik darjah dengan papan pintar secara berperingkat serta memastikan guru-guru diberikan latihan dalam kaedah pengajaran digital.
Tambahnya lagi, MCMC akan menyediakan sambungan internet satelit Starlink kepada 68 buah sekolah yang masih belum mempunyai capaian internet, di samping membekalkan sistem tenaga solar kepada sekolah-sekolah yang tidak mempunyai bekalan elektrik.
“Kita mahu memastikan Sabah tidak ketinggalan jauh dari segi pembangunan teknologi, termasuk teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), berbanding negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan Sarawak,” ujarnya.
Mengulas berkaitan perjalanan pelajar ke Semenanjung Malaysia bagi melanjutkan pengajian, James berkata, Dana Pendidikan Negeri Sabah akan terus membantu pelajar yang layak, manakala cadangan diskaun tambang penerbangan bersama syarikat penerbangan kini sedang dibincangkan oleh agensi-agensi berkaitan.





