Bayi seminggu antara 21 maut akibat cuaca sejuk melampau di Gaza

SEKURANG-kurangnya 21 penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal, kebanyakannya kanak-kanak, dilaporkan maut akibat kesejukan melampau di kem penempatan sementara di Gaza sejak bermulanya perang Israel ke atas wilayah itu, menurut pihak berkuasa tempatan, Ahad lalu.

Pejabat Media Kerajaan Gaza menegaskan Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kematian itu, dengan mendakwa pihak berkenaan gagal membenarkan kemasukan bahan binaan, peralatan pemanas dan bekalan perlindungan yang mencukupi, walaupun gencatan senjata berkuat kuasa sejak 10 Oktober lalu, lapor Anadolu.

Menurut data rasmi Palestin, pihak berkuasa Israel berulang kali gagal memenuhi komitmen untuk memudahkan kemasukan khemah, unit perumahan bergerak serta bahan binaan bagi membaiki rangkaian air, kumbahan dan elektrik.

Dalam kenyataan, Pejabat Media Kerajaan Gaza memaklumkan, kematian itu membabitkan keluarga yang tinggal di khemah dan struktur sementara yang tidak mampu memberi perlindungan mencukupi daripada cuaca musim sejuk, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedang melanda wilayah berkenaan.

Menurut kenyataan itu, 18 daripada mangsa adalah kanak-kanak, sekali gus menonjolkan tahap kerentanan tinggi dalam kalangan keluarga yang dipindahkan, khususnya bayi dan kanak-kanak kecil yang terpaksa tinggal di khemah tanpa pemanas, penebat haba serta bekalan musim sejuk asas.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas seorang bayi lelaki berusia seminggu, Mahmoud al-Aqraa, meninggal dunia akibat hipotermia selepas tubuhnya menggigil tanpa kawalan akibat kesejukan melampau, menurut bapanya, Adnan al-Aqraa. Bayi itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Al-Aqsa Martyrs di tengah Gaza.

Pejabat Media Kerajaan Gaza menyatakan, kematian akibat kesejukan itu berpunca secara langsung daripada kemusnahan besar-besaran kediaman dan infrastruktur, sekatan berterusan Israel serta pemindahan paksa lebih 1.5 juta penduduk Palestin.

Ia memberi amaran bahawa gelombang sejuk yang berterusan boleh meningkatkan lagi angka korban, terutama dalam kalangan kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik, berikutan cuaca musim sejuk dijangka semakin buruk dalam beberapa hari akan datang.

Menurut kenyataan itu, empat kematian akibat kesejukan direkodkan sejak awal musim sejuk pada Disember lalu, dalam keadaan kekurangan serius peralatan pemanas, pakaian musim sejuk, selimut dan tempat perlindungan yang selamat.

Pegawai meteorologi Palestin memaklumkan satu sistem tekanan rendah baharu mula melanda Gaza sejak Jumaat lalu, membawa hujan lebat, angin kencang serta penurunan suhu mendadak, dengan kelajuan angin mencecah sehingga 60 kilometer sejam di beberapa kawasan.

Pertahanan Awam Gaza pula melaporkan ribuan khemah penempatan rosak atau diterbangkan angin ribut, manakala puluhan bangunan yang sudah lemah akibat serangan terdahulu runtuh akibat cuaca buruk, sekali gus menyebabkan korban tambahan.

Sehubungan itu, pihak berkuasa Gaza menggesa masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi kemanusiaan supaya segera mengambil tindakan menyediakan tempat perlindungan selamat, bekalan pemanas serta bantuan kemanusiaan tanpa sekatan bagi mengelakkan lebih banyak kematian.

Related Posts

Trump batal pergerakan delegasi AS ke Pakistan

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengarahkan wakilnya supaya tidak berangkat ke Pakistan bagi rundingan damai dengan pegawai Iran. Bagaimanapun, Trump menegaskan bahawa langkah itu tidak bermaksud perang…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Malaysia, Brunei tegaskan komitmen perkukuh hubungan dua hala

PUTRAJAYA – Malaysia dan Brunei menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin, berpaksikan amanah, kepercayaan serta kesepakatan dalam menghadapi cabaran serantau dan antarabangsa. Komitmen tersebut…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pemandu maut, kenderaan berat jatuh kolam

Pemandu maut, kenderaan berat jatuh kolam

Trump batal pergerakan delegasi AS ke Pakistan

Trump batal pergerakan delegasi AS ke Pakistan

City tewaskan Southampton 2-1, mara final Piala FA

City tewaskan Southampton 2-1, mara final Piala FA

Jentera akar umbi perlu giat buat persiapan hadapi PRU16

Jentera akar umbi perlu giat buat persiapan hadapi PRU16

Jurugambar veteran Bernama Sarawak, Razali Nordin meninggal dunia

Jurugambar veteran Bernama Sarawak, Razali Nordin meninggal dunia

Seraheng Kakan buka tirai Pesta Kaul, tarik kehadiran pelawat

Seraheng Kakan buka tirai Pesta Kaul, tarik kehadiran pelawat