
Oleh: RASHIDIIN TEH
KERAJAAN Negeri Perak terus memperkukuh dasar pemerkasaan pelancongan warisan dengan menjadikan Beruas sebagai antara destinasi strategik sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), selari usaha mengangkat sejarah dan identiti negeri sebagai antara tapak tamadun terawal di rantau ini.
Beruas, yang dipercayai pernah menjadi pusat kepada Empayar Gangga Negara sekitar abad ke-2 Masihi, kini diberikan nafas baharu menerusi pendekatan pelancongan berasaskan sejarah, arkeologi dan pendidikan. Inisiatif ini selari dengan dasar Kerajaan Negeri Perak yang menekankan pembangunan pelancongan berimpak tinggi, mampan dan berteraskan khazanah tempatan.
Menurut naratif sejarah, Gangga Negara merupakan sebuah kerajaan Melayu purba yang berperanan sebagai kota pelabuhan penting serta pusat perdagangan emas dan bijih timah, dengan jaringan hubungan antarabangsa melibatkan pedagang dari India dan China.
Kedudukan strategiknya di pesisir pantai Perak menjadikan wilayah ini antara pemangkin awal kemakmuran ekonomi di Alam Melayu sebelum kejatuhannya pada abad ke-11.
Sebagai sebahagian daripada usaha pemeliharaan dan pendokumentasian sejarah negeri, Muzium Beruas terus diperkasa sebagai pusat rujukan utama tamadun Gangga Negara.
Muzium yang terletak di bangunan mahkamah lama itu menempatkan pelbagai artifak arkeologi termasuk tembikar purba, arca gangsa dan mata wang lama, sekali gus membuktikan tahap kemajuan sosial dan ekonomi kawasan tersebut pada suatu ketika dahulu.
Kerajaan Negeri Perak turut melihat Beruas sebagai tapak penting dalam naratif peralihan sejarah, khususnya kemasukan dan perkembangan awal Islam di Semenanjung.
Penemuan batu nisan Acheh di Kampung Kota mengukuhkan kedudukan Beruas sebagai antara pintu masuk awal syiar Islam, sekali gus menjadikan daerah ini kaya dengan lapisan sejarah yang merangkumi era pra-Islam dan Islam.
Pendekatan ini sejajar dengan aspirasi negeri untuk membangunkan produk pelancongan berkonsepkan ‘heritage trail’, pendidikan sejarah dan komuniti setempat, di samping merancakkan ekonomi tempatan melalui peluang pekerjaan, keusahawanan dan penglibatan masyarakat.
Dengan memfokuskan Beruas sebagai destinasi pelancongan warisan, Kerajaan Negeri Perak bukan sahaja memperkukuh imej negeri sebagai pusat sejarah dan kebudayaan, malah menzahirkan komitmen berterusan dalam memelihara warisan bangsa sebagai aset strategik pembangunan negeri.
Langkah ini dijangka menjadi antara tarikan utama TMM2026, sekali gus mengangkat Perak sebagai negeri yang kaya dengan sejarah, berdaya saing dalam sektor pelancongan dan berteraskan identiti Malaysia MADANI.
Nama: Rashidiin Teh
Emel: rashidiinteh@komunikasi.gov.my





