
KUANTAN – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melihat serpihan dipercayai objek dari angkasa di Nenasi, Pekan, petang semalam.
Menerusi hantaran Facebook Kesultanan Pahang, baginda melihat objek berkenaan yang kini diletakkan di Balai Polis Nenasi bagi tujuan pengawasan dan kajian Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
“Baginda meluangkan masa kira-kira 20 minit melihat objek berkenaan dari dekat serta mendengar persembahan taklimat Penguasa Angkasa dari Bahagian Penguasa Angkasa MOSTI, Mhd Fairos Asillam.
“Baginda turut menerima sembah maklum berkenaan kajian yang masih dilakukan pihak MOSTI terhadap objek berkenaan berdasarkan rupa bentuk, keadaan semasa serta andaian lokasi asal serpihan itu,” menerusi hantaran itu.
Difahamkan, berat serpihan itu dianggarkan mencecah 500 kilogram dan ditemukan di kawasan pantai Kampung Tanjung, Nenasi.
Panjang serpihan itu 4.26 meter dan lebar 3.64 meter serta terdapat teritip iaitu sejenis hidupan marin melekat di sekeliling objek itu.
Media sebelum ini melaporkan tiga satelit milik China pernah terjatuh di bumi antara 2018 dan 2022.
Serpihan objek itu dilaporkan pernah dijumpai di beberapa lokasi termasuk Lautan Pasifik dan Lautan Hindi.
Foto: FB Kesultanan Pahang


