
LARANGAN penjualan rokok elektronik atau vape yang berkuat kuasa di Perak bermula 1 Januari lalu menyaksikan sebanyak 39 daripada 61 lesen premis penjualan vape di 15 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) tamat tempoh, manakala baki 22 lesen yang masih aktif tidak akan diperbaharui selepas tarikh luput masing-masing.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan berkata, penguatkuasaan larangan lesen penjualan vape itu dilaksanakan secara berperingkat dengan memberi ruang kepada pengusaha terlibat untuk mematuhi peraturan ditetapkan.
Menurutnya, pemegang lesen yang masih aktif dibenarkan meneruskan operasi sehingga tamat tempoh lesen, namun tiada sebarang pembaharuan akan diberikan selepas itu.
“Kita percaya ruang yang mencukupi telah diberikan kepada pengusaha untuk bersedia dan akur kepada peraturan ini. Mereka telah dimaklumkan lebih awal mengenai pelaksanaan larangan ini.
“Sekiranya masih terdapat stok vape yang tidak terjual selepas lesen tamat, pengusaha perlu memulangkan semula stok berkenaan kepada pihak pembekal kerana perkara ini telah dimaklumkan sejak Oktober tahun lalu,” katanya pada Isnin.
Dalam pada itu, Sivanesan berkata, keputusan kerajaan negeri untuk melaksanakan larangan lesen penjualan vape dibuat selepas mengambil kira kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan vape dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa larangan tersebut akan menjejaskan peluang pekerjaan di negeri ini, khususnya melibatkan pekerja di premis penjualan vape.
Menurutnya, kebanyakan pekerja terbabit bekerja di kedai serbaneka atau premis yang menjual pelbagai barangan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada jualan vape.
“Sebagai contoh, pekerja di kedai serbaneka tidak diambil bekerja semata-mata untuk menjual vape. Kontrak pekerjaan juga tidak menyatakan gaji dibayar kerana menjual vape.
“Oleh itu, isu seperti gaji dipotong atau pekerja diberhentikan kerja susulan larangan ini tidak sepatutnya timbul,” katanya.
Pada 1 Oktober lalu, kerajaan negeri Perak mengumumkan pelaksanaan larangan lesen penjualan vape di semua premis perniagaan dalam kawasan PBT bermula 1 Januari 2026.
Sivanesan dilaporkan berkata, keputusan yang dibuat menerusi Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri itu merupakan fasa persediaan ke arah pengharaman sepenuhnya penjualan vape seperti yang dihasratkan oleh Kerajaan Persekutuan.







