MANCHESTER United mengesahkan pemecatan Ruben Amorim sebagai ketua jurulatih selepas 14 bulan mengemudi pasukan, susulan keputusan seri 1-1 menentang Leeds United, semalam.
Keputusan itu menyaksikan pengendali dari Portugal berkenaan meninggalkan Old Trafford lebih awal walaupun kontraknya masih berbaki hingga 2027, dengan United ketika ini menghuni tangga keenam Liga Perdana Inggeris.
Menurut laporan The Athletic, jurulatih bawah 18 tahun kelab, Darren Fletcher, dilantik sebagai pengendali sementara, sementara pihak pengurusan mencari pengganti tetap.
Amorim meninggalkan United dengan rekod 24 kemenangan daripada 63 perlawanan, sekali gus mencatatkan rekod ketiga terburuk dalam kalangan pengurus tetap sepanjang sejarah kelab gergasi itu.
Sebelum ini, bekas pengendali Sporting Lisbon itu memberi bayangan wujud ketegangan serius antara dirinya dan hierarki bola sepak kelab, terutama selepas kenyataan terbukanya dalam sidang media pasca perlawanan menentang Leeds.
Amorim menegaskan dirinya menyertai United sebagai seorang ‘pengurus, bukan jurulatih’, selain menyatakan kesediaan untuk meninggalkan kelab apabila kontraknya tamat.
Bagaimanapun, perpisahan itu berlaku lebih awal selepas dilaporkan berlaku keretakan hubungan di sebalik tabir antara Amorim dan pengurusan tertinggi kelab.
Dalam satu kenyataan, United menjelaskan keputusan itu dibuat demi kepentingan pasukan.
“Dengan Manchester United berada di kedudukan keenam Liga Perdana Inggeris, kepimpinan kelab dengan berat hati membuat keputusan bahawa inilah masa sesuai untuk melakukan perubahan.
“Langkah ini diyakini dapat memberi peluang terbaik kepada pasukan untuk mencapai kedudukan tertinggi yang berpotensi dalam liga,” kata kenyataan itu.
United kini ketinggalan 17 mata di belakang pendahulu liga, Arsenal.




