BAITULMAQDIS – Israel meluluskan penubuhan 19 penempatan baharu di Tebing Barat yang diduduki, satu langkah yang menurut menteri kewangan berhaluan kanan negara itu, bertujuan menghalang penubuhan negara Palestin.
Keputusan dibuat kabinet keselamatan itu menjadikan jumlah keseluruhan penempatan diluluskan dalam tempoh tiga tahun lalu kepada 69, menurut kenyataan Pejabat Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich.
Kelulusan terbaharu itu dibuat beberapa hari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan peluasan penempatan Israel di Tebing Barat – yang kesemuanya dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa – mencapai tahap tertinggi sejak sekurang-kurangnya 2017.
“Cadangan oleh Smotrich dan Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz untuk mengisytiharkan serta merasmikan 19 penempatan baharu di Judea dan Samaria telah diluluskan kabinet,” menurut kenyataan itu, lapor AFP.
Smotrich, yang juga seorang peneroka, dikenali sebagai penyokong lantang peluasan penempatan haram.
“Di lapangan, kami menghalang penubuhan sebuah negara Palestin, kami akan terus membangunkan, membina dan mendiami tanah warisan nenek moyang kami, dengan keyakinan terhadap keadilan perjuangan kami,” katanya dalam kenyataan itu.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, baru-baru ini mengecam apa yang disifatkannya sebagai peluasan penempatan Israel yang ‘berterusan tanpa henti’ di wilayah yang diduduki itu.







