
MIRI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan dadah berbahaya disyaki jenis methamphetamine bernilai RM863,108 dalam satu operasi di Lapangan Terbang Miri pada awal Disember ini.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata, rampasan tersebut melibatkan 24,394 gram dadah disyaki syabu serta 220 unit cartridge cecair vape yang dipercayai mengandungi dadah sama.
“Operasi berkenaan dijalankan pada 6 Disember 2025 kira-kira jam 8.07 malam apabila sepasukan pegawai kastam menahan seorang lelaki tempatan bersama sebuah bagasi penumpang di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Miri,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan ke atas bagasi tersebut yang disaksikan oleh orang yang disyaki membawa kepada penemuan 24 bungkusan menyerupai produk teh yang mengandungi ketulan kristal disyaki syabu, selain 220 unit cartridge cecair vape yang turut dipercayai mengandungi dadah sama.
“Nilai rampasan bagi dadah disyaki syabu dianggarkan sebanyak RM780,608 manakala cartridge cecair vape pula bernilai RM82,500, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM863,108,” jelasnya.
Beliau berkata, methamphetamine merupakan dadah berbahaya yang disenaraikan di bawah Bahagian III, Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952.
Susulan penahanan tersebut, katanya, suspek telah direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Modus operandi yang digunakan adalah dengan menyembunyikan dadah di dalam bungkusan produk teh yang dibawa dalam bagasi penumpang bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Jika disabitkan kesalahan, individu yang didakwa di bawah peruntukan tersebut boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali.



