
MELAKA – Tanggal 31 Ogos ini merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini iaitu hari bersejarah yang disambut setiap tahun dengan slogan “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka” yang juga mempunyai makna tersendiri mengenai semangat, kesungguhan dan kecintaan pada Hari Kemerdekaan.
Maksud ‘jiwa merdeka’ dalam ketatanegaraan iaitu membina diri sebagai seorang pemimpin dan rakyat yang berakhlak tinggi, berintegriti, berdisiplin, patuh undang-undang dan memiliki minda kelas pertama. Semua komponen ‘Jiwa Merdeka’ ini jelas terpancar menerusi enam teras Rukun MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.
Menurut Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh Malaysia mempunyai kekuatan tersendiri yang tiada di negara lain kerana berjaya ditadbir dengan baik di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan penerapan aspirasi Madani di setiap lapisan masyarakat kepelbagaian kaum.
“Konsep ‘Malaysia MADANI’ yang dibawa beliau menekankan prinsip hidup yang berteraskan nilai-nilai murni, inklusif, dan progresif. Ini termasuk keadilan sosial dan ekonomi, pengagihan kekayaan, serta akses yang adil kepada pendidikan dan peluang ekonomi kepada semua lapisan rakyat.
“Hakikatnya, kemerdekaan adalah satu konsep yang penuh dengan pengertian politik, jati diri dan pembangunan sebuah bangsa. Pengertian merdeka dari segi politik tidak terbatas kepada pembebasan dari kuasa penjajah saja akan tetapi kebebasan dari segi pemikiran, keilmuan, sosial, ekonomi dan budaya,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut menegaskan penghayatan kemerdekaan seharusnya diserlahkan menerusi kefahaman mengenai peranan kita sebagai warga merdeka, tidak bermakna mendiami sebuah negara merdeka, sedangkan kita masih belum merdeka jiwanya. Jiwa bebas dan merdeka tidak bermakna tanpa adanya pegangan dan penghayatan nilai yang tinggi.
“Jika dilihat kepada cara berpolitik negara kita, trend perbincangan lebih menjurus kepada politik kepartian di sini dapat dilihat bagaimana berpolitik secara ekstrem akan menyebabkan sesuatu pihak menjustifikasi baik buruk sesuatu perkara berdasarkan parti.
“Sikap fanatik ini akan menyebabkan seseorang atau sesuatu pihak akan menganggap dirinya sahaja yang betul dan paling menakutkan, jika elemen agama digunakan untuk menjustifikasikan pandangan politik masing-masing apabila mereka boleh menentukan siapa yang lebih Islam atau kurang Islam atau siapa ahli syurga dan neraka, tetapi hari ini kita melihat politik itu digunakan untuk memecah-belahkan rakyat dan juga merudumkan pembangunan,” katanya ketika dihubungi oleh wartawan The Malaysia Press.
Tambahnya lagi bangsa yang merdeka dapat berfikir dengan matang apakah yang terbaik dilakukan untuk dirinya, bangsa dan kepentingan rakyat keseluruhannya.
“Sepatutnya kita mempunyai pemikiran apakah yang kita telah sumbangkan untuk negara, bukan mengharap apa yang negara dapat sumbangkan untuk kita. Sebab itulah sekiranya fahaman dan mentaliti kita masih belum berganjak, kita tidak boleh mengatakan diri kita benar-benar merdeka.
Tambah beliau cabaran bagi generasi baharu ini adalah memerdekakan minda.
“Merdeka bukan sahaja bebas daripada genggaman penjajah di zaman nenek moyang kita, malah bagaimana pada masa kini kita ingin membebaskan minda kepada rakyat kelas pertama.
“Itu yang saya lihat cabaran yang dihadapi sebagai pemimpin dan generasi baharu. Saya percaya kita boleh lakukannya,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Melaka turut menyatakan bahawa tiada mana-mana pihak boleh menafikan pencapaian negara ini dari zaman merdeka sehingga ke hari ini apabila bapa kemerdekaan dan pemimpin kita terdahulu membangunkan negara daripada tiada ada apa-apa, namun hari ini kita boleh duduk antara negara membangun dan disegani di serantau asia dan serata dunia.
Jelasnya lagi, apa yang perlu ada pada waktu ini adalah bagaimana Malaysia mahu melahirkan generasi rakyat yang berjaya dan disegani setiap lapisan masyarakat.




