
KOTA KINABALU – Datuk Mustapha Sakmud secara rasmi memulakan tugas sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), menandakan permulaan amanah dan tanggungjawab yang digalas dengan penuh kesungguhan.
Beliau berkata, sebaik melapor diri, beliau diberi taklimat awal daripada pegawai-pegawai bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai struktur, peranan serta keutamaan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Di fasa awal ini, saya dedikasikan untuk mendapatkan kefahaman yang jelas, penyesuaian yang pantas serta komitmen untuk memastikan kesinambungan dasar dan pelaksanaan dapat diteruskan dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Beliau menekankan bahawa dalam melaksanakan amanah ini, usaha berterusan akan digerakkan bagi menyantuni maklum balas rakyat berkaitan isu, keperluan dan aspirasi di Sabah dan Sarawak.
“Saya sedar ianya bukanlah tugas yang mudah.
“Tetapi dengan dokongan semua, usaha berterusan ini pasti bakal mendatangkan hasil, terutamanya dalam agenda memperkasa Wilayah Sabah dan Sarawak untuk sama maju dan makmur dalam Malaysia. Insya-Allah,” tambahnya.





