
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah membentangkan anggaran perbelanjaan perbekalan berjumlah RM6.402 bilion bagi tahun 2026, dengan anggaran hasil sebanyak RM6.430 bilion.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, meskipun belanjawan itu mencatatkan sedikit penurunan berbanding tahun 2025 namun ia masih mencatatkan belanjawan lebihan (Surplus Budget) sebanyak RM28 juta.
“Saya ingin mencadangkan satu anggaran perbelanjaan perbekalan berjumlah RM6.402 bilion dengan anggaran hasil berjumlah RM6.430 bilion.
“Meskipun Belanjawan ini mencatatkan sedikit penurunan berbanding tahun 2025, setelah mengambil kira anggaran hasil yang dapat dikutip, Belanjawan Sabah 2026 masih mencatatkan belanjawan lebihan (Surplus Budget) sebanyak RM28 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentang belanjawan tersebut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini pada Jumaat.
Jelasnya, belanjawan tersebut dirangka berteraskan aspirasi dan komitmen Kerajaan Sabah melonjakkan dan mempercepatkan pembangunan negeri demi kesejahteraan hidup.
Beliau berkata, menerusi belanjawan itu sumber kewangan untuk tahun hadapan diagihkan berdasarkan lima tonggak iaitu yang pertama mempercepatkan pembangunan lanjut sektor-sektor produktif.
“Menangani ketidakseimbangan sosioekonomi dan meningkatkan taraf hidup; memperkasa pembangunan modal insan; meningkatkan pembangunan pemboleh daya dan meningkatkan keupayaan sistem penyampaian Kerajaan Sabah,” ujarnya.




