NONI Madueke dan Gabriel Martinelli menjaringkan gol menakjubkan ketika Arsenal mudah menundukkan Club Brugge 3-0, sekali gus melengkapkan enam kemenangan daripada enam perlawanan Liga Juara-Juara dan hampir mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir.
Bekas pemain sayap Chelsea, Madueke meledak rembatan kencang dari jarak jauh untuk memberikan The Gunners gol pendahuluan pada babak pertama sebelum menanduk bola dari jarak dekat sejurus babak kedua bermula.
Martinelli kemudian memastikan kemenangan mutlak, meluru dari kiri sebelum melepaskan rembatan kaki kanan melencong dari luar kotak penalti.
Arsenal yang dibelenggu kecederaan mengekalkan rekod 100 peratus dalam Liga Juara-Juara musim ini dan hanya bolos sekali setakat ini.
The Gunners sudah pun mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati sebelum berkunjung ke Belgium, tetapi kini hampir pasti menamatkan saingan dalam kelompok lapan terbaik.
Ia bermakna slot automatik ke pusingan 16 terakhir, sekali gus mengelakkan aksi play-off.
Pendahulu Liga Perdana Inggeris kendalian Mikel Arteta itu tewas buat kali pertama sejak Ogos hujung minggu lalu, tumbang 1-2 kepada Aston Villa.






