PERTUBUHAN Pendidikan Intelek Warga Terengganu (Intelek Terengganu) menggesa Yayasan Terengganu menjelaskan rasional penutupan Asrama Yayasan Terengganu Kemaman yang akan berakhir operasinya secara kekal mulai 2026.
Setiausaha Intelek Terengganu, Ahmad Nadhir Yob berkata, keputusan itu dimaklumkan melalui surat bertarikh 1 Disember dan tidak menyatakan sebab rasmi penutupan, sama ada melibatkan kewangan, penyelenggaraan atau dasar baharu.
Katanya, ketiadaan penjelasan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang bergantung kepada kemudahan itu.
“Keputusan tanpa maklumat lengkap tidak telus dan mengabaikan kepentingan pelajar,” kata Ahmad Nadhir.
Surat itu turut memaklumkan pemindahan pelajar akan dibuat secara berperingkat sehingga Jun 2026.
Intelek Terengganu menggesa YT menjelaskan lokasi penempatan baharu, kos tambahan kepada keluarga serta sama ada asrama alternatif mematuhi standard keselamatan dan pembelajaran.
Pertubuhan itu juga mempersoalkan mengapa kemudahan pendidikan yang telah lama berfungsi ditutup tanpa menerangkan sama ada ia digantikan dengan kemudahan baharu atau sebahagian daripada langkah penjimatan negeri.
Intelek Terengganu berkata, tidak ada bukti bahawa proses libat urus diadakan bersama ibu bapa, guru dan komuniti sebelum keputusan dibuat.
Pertubuhan itu mahu YT memberikan peta jalan terperinci penempatan pelajar, jaminan tiada pelajar tercicir serta komitmen menyediakan kemudahan setara atau lebih baik menggantikan asrama tersebut.
“Pendidikan ialah amanah dan ia mesti dipertahankan,” kata Ahmad Nadhir.






