SST barangan mewah pastikan kutipan lebih teratur dan bersasar – Hui Ying

KERAJAAN memilih untuk melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas barangan mewah sebagai pendekatan yang lebih teratur dan bersasar, berbanding Cukai Bernilai Tinggi (HVGT) yang tidak diteruskan.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, pendekatan itu memastikan kutipan cukai dilaksana dengan lebih efisien melalui sistem percukaian sedia ada tanpa menjejaskan pengguna dan industri.

Pendekatan mengenakan SST ke atas barangan mewah didapati lebih menyeluruh kerana mengambil kira implikasi terhadap sektor industri dan pengguna.

Pada masa sama, kaedah itu membolehkan kutipan cukai ke atas barangan mewah dijalankan secara lancar dan berkesan di bawah kerangka percukaian semasa.

Menurutnya, meskipun HVGT dibatalkan, prinsip asas cukai berkenaan tetap dikekalkan melalui penambahbaikan dasar percukaian sedia ada, termasuk semakan semula SST yang berkuat kuasa pada 1 Julai lalu.

Katanya, melalui pendekatan baharu itu, barangan mewah dan barangan pilihan dikenakan SST pada kadar lima atau 10 peratus, selaras matlamat HVGT untuk memastikan golongan berkemampuan menyumbang secara saksama kepada hasil negara.

“Barangan ini termasuk pakaian premium, jam tangan dan barangan pilihan yang lazimnya dikaitkan dengan segmen berpendapatan tinggi.

“Kadar berkenaan dianggap memadai buat masa ini. Pendekatan barangan yang bukan barangan asas adalah memastikan proses penentuan barangan bercukai yang telus, konsisten dan tidak tertumpu kepada penentuan asas, penentuan atau definisi ke atas barangan yang dikategorikan sebagai mewah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Wan Hassan Mohd Ramli (PN–Dungun) di Dewan Rakyat hari ini mengenai mekanisme baharu bagi memastikan cukai terhadap golongan kaya dan pemilik barangan mewah dikutip secara berkesan selepas pembatalan HVGT.

Menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH–Batu Pahat) mengenai sama ada kerajaan bercadang menilai semula peluasan skop SST yang dilaksanakan pada 1 Julai lalu berikutan kebimbangan kenaikan kos barangan dan perkhidmatan, Hui Ying menjelaskan bahawa kerajaan mengekalkan pelaksanaan sedia ada kerana ia dirangka dengan mengambil kira langkah mitigasi yang bersifat bersasar dan progresif.

Menurutnya, bagi memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus berdaya saing dan tidak terbeban, kerajaan menyediakan beberapa kemudahan hasil libat urus bersama pihak industri.

“Ia termasuk penetapan nilai ambang pendaftaran yang tinggi dikenakan bagi perkhidmatan baharu, yang mula dikenakan cukai perkhidmatan, iaitu RM1 juta setahun bagi perkhidmatan sewa atau pajakan dan perkhidmatan kewangan berasaskan fi serta RM1.5 juta setahun bagi perkhidmatan pembinaan dan penjagaan kesihatan swasta, selain pengecualian cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan sewaan dan pajakan kepada peniaga kecil dengan pendapatan tahunan kurang RM1 juta.

“Pada masa sama, selepas menerima maklum balas dan meneliti industri, kerajaan turut mengecualikan perkhidmatan kecantikan yang pada asalnya dimasukkan dalam skop peluasan cukai.

“Langkah ini memastikan peluasan skop SST dilaksanakan secara berhemah dan tidak membebankan pengguna serta PKS, sebaliknya menyokong usaha memperkukuh hasil negara secara berperingkat bagi memastikan kemampanan fiskal jangka panjang tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Related Posts

Anwar tekankan kepentingan teknologi, nilai kemanusiaan dan tolak politik perpecahan

BATU PAHAT – Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan penguasaan teknologi, pengukuhan nilai kemanusiaan serta penolakan terhadap politik perpecahan kaum dan agama ketika menyampaikan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pembahagian kerusi PH Johor selesai, tunggu lampu hijau Anwar

BATU PAHAT – Rundingan pembahagian kerusi antara parti komponen Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah dimuktamadkan dan kini hanya menunggu persetujuan rasmi daripada Pengerusi PH,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar tekankan kepentingan teknologi, nilai kemanusiaan dan tolak politik perpecahan

Anwar tekankan kepentingan teknologi, nilai kemanusiaan dan tolak politik perpecahan

Pembahagian kerusi PH Johor selesai, tunggu lampu hijau Anwar

Pembahagian kerusi PH Johor selesai, tunggu lampu hijau Anwar

Aminuddin kecewa dikhianati hingga DUN Negeri Sembilan dibubar

Aminuddin kecewa dikhianati hingga DUN Negeri Sembilan dibubar

Bantuan Kerajaan Persekutuan bukti komitmen PH bela kebajikan rakyat Johor – Aminolhuda

Bantuan Kerajaan Persekutuan bukti komitmen PH bela kebajikan rakyat Johor – Aminolhuda

Penolakan tawaran SUA MB Perlis buka ruang pelbagai tafsiran hubungan Pas-Bersatu

Penolakan tawaran SUA MB Perlis buka ruang pelbagai tafsiran hubungan Pas-Bersatu

RM90 juta untuk PRN Johor lebih baik disalur kepada rakyat – Dr Zaliha

RM90 juta untuk PRN Johor lebih baik disalur kepada rakyat – Dr Zaliha