
PENAMPANG – Slogan “Harapan Urang Sabah” yang dibawa Pakatan Harapan (PH) bukan sekadar frasa kempen, sebaliknya menjadi cerminan harapan mendalam warga Moyog terhadap masa depan kawasan itu.
Calon PH Moyog, Remysta Taylor berkata, slogan tersebut cukup dekat di hati masyarakat kerana ia melambangkan aspirasi untuk membawa perubahan yang lebih baik, khususnya bagi penduduk di kawasan pedalaman Moyog.
“Saya sangat terharu dengan sokongan warga Moyog sepanjang lima hari saya turun menyantuni mereka.
“Saya tahu bukan mudah bagi mereka untuk meluangkan masa, lebih-lebih lagi ketika berada bersama keluarga, namun mereka tetap hadir memberi sokongan,” katanya ketika ditemui selepas program Ceramah Kelompok di Kampung Pomotodon, Inobong, di sini pada Khamis.

Menurut Remysta, mandat yang bakal diberikan rakyat tidak akan disia-siakan.
“Saya berjanji akan menggalas kepercayaan ini sebaik mungkin dan memastikan harapan warga Moyog dibawa ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.
Bagi penduduk setempat, kemenangan calon itu diharap mampu membuka ruang perubahan yang nyata, khususnya dalam aspek ekonomi dan kesejahteraan sosial.

Seorang anak muda, Glady Jirus Simbaku, 27, berharap peluang pekerjaan diperluaskan bagi mengekang penghijrahan belia ke luar kawasan.
“Saya harap Remysta dapat wujudkan peluang kerja untuk anak muda di kampung ini supaya kami tidak perlu merantau jauh.
“Kami juga mahu beliau kerap turun mengikuti aktiviti belia bagi memberi sokongan moral,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Bandu Sidom, 59, pula berharap isu pembaikan rumah dapat diberi perhatian serius.

“Banyak rumah di kampung ini sudah uzur. Jika beliau menang, saya berharap ada peruntukan khas untuk membantu kami membaiki dan mendapatkan rumah yang lebih selesa,” katanya.
Penduduk Moyog kini dilihat meletakkan keyakinan tinggi kepada calon baharu itu, selari dengan semangat slogan ‘Harapan Urang Sabah’ yang semakin mendapat tempat di hati pengundi.





