
KOTA BHARU – Seorang anggota polis yang digantung tugas dicekup selepas melakukan jenayah samun di sebuah butik pakaian terpakai menggunakan senjata api 10 November lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek berusia 43 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 7.05 malam di sebuah rumah di Pengkalan Chepa, dekat sini, semalam.
“Suspek digantung tugas selepas terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
“Penahanan suspek membawa kepada rampasan dua motosikal, pistol tiruan (1), topi keledar (3), jam tangan (1), selipar (1), sarung tangan (1) beg sandang (2) dan topeng muka (2),” katanya, seperti dilapor Sinar Harian.
Mohd Yusoff memberitahu, turut ditemukan 12 biji pil kemerahan disyaki dadah.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek melakukan samun di kedai perniagaan dengan cara mengacukan senjata api untuk menakut-nakutkan mangsa.
“Suspek dipercayai sudah melakukan empat kes samun menggunakan modus operandi yang sama.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.







