
MIRI – Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) terus menjadi laluan utama bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk menyambung pengajian ke universiti serta meningkatkan taraf hidup, sekali gus menjadikannya instrumen penting dalam keadilan pendidikan.
Menurut pakar pendidikan, meskipun akses pendidikan peringkat rendah dan menengah kini hampir menyeluruh, ia tidak lagi mencukupi untuk menjamin mobiliti sosial tanpa peluang pengajian pra-universiti yang setara.
Ketika laluan lain seperti A-Level dan ‘foundation’ di institusi swasta memerlukan kos tinggi, manakala matrikulasi dan program asasi hanya ditawarkan kepada kelompok terpilih, STPM kekal sebagai pilihan paling terbuka untuk semua pelajar tanpa mengira latar belakang.
“STPM bukan sekadar peperiksaan, tetapi pintu terakhir bagi ramai anak luar bandar dan kawasan setinggan untuk mengejar impian, masuk universiti dan mengubah nasib keluarga,” kata Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man.
Namun katanya, isu tempoh pengajian turut menjadi cabaran. Kitaran masa STPM yang mengambil hampir tiga tahun dianggap terlalu panjang berbanding laluan lain sekitar setahun sembilan bulan, sekali gus menjejaskan keluarga berpendapatan rendah kerana melanjutkan tempoh pelajar tidak memperoleh pendapatan dan melambatkan mereka memasuki dunia pekerjaan.
Beliau mencadangkan beberapa pembaharuan termasuk kemasukan awal ke universiti berdasarkan keputusan percubaan SPM, penyelarasan takwim STPM serta pengakhiran pengajian lebih awal bagi mengelakkan kelewatan pendaftaran universiti.
Selain itu, penyelarasan penilaian antara STPM dan matrikulasi juga disyorkan bagi memastikan sistem merit lebih telus dan adil dalam proses pengambilan pelajar.
Chiew turut menegaskan keperluan menyediakan elaun sara hidup kepada pelajar STPM bagi meringankan beban kos harian, sekali gus mengelakkan mereka terpaksa bekerja sehingga menjejaskan pengajian.
“Memperkukuh STPM bukan sahaja menjamin keadilan pendidikan, tetapi memastikan pendidikan benar-benar menjadi tangga keluar daripada kemiskinan serta landasan membina Malaysia yang lebih saksama dan maju,” katanya.







