
KERAJAAN mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapatkan penjelasan terperinci daripada syarikat telekomunikasi (telco) yang mengenakan caj RM10 sebulan bagi perkhidmatan perlindungan scam, susulan kritikan bahawa keselamatan pengguna tidak wajar dijadikan sumber keuntungan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya mahu telco terlibat dikenal pasti segera sebelum penjelasan lengkap diperoleh bagi meneliti kewajaran caj yang dikenakan.
“Saya belum meneliti laporan itu tetapi saya akan minta MCMC mengenal pasti syarikat perkhidmatan telekomunikasi berkenaan.
“Ini untuk mendapatkan penjelasan dan meneliti aspek ini, sama ada wajar atau tidak, kita hendak tahu dulu apa yang dimaksudkan (dengan perkhidmatan serta caj yang dikenakan),” katanya.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian pada sidang media mingguan, di Putrajaya, hari ini.
Sebelum ini, beberapa laporan media memetik persatuan pengguna dan pakar komputer yang menyelar tindakan telco mengenakan caj RM10 sebulan bagi perkhidmatan perlindungan scam atau penipuan.
Mereka menyifatkan tindakan itu tidak wajar dan bercanggah dengan prinsip tanggungjawab asas penyedia perkhidmatan telekomunikasi terhadap keselamatan pengguna.
Menurut mereka, keselamatan asas pengguna daripada gangguan panggilan dan pesanan mencurigakan wajar ditanggung sepenuhnya oleh telco dan tidak patut dijadikan peluang untuk meraih keuntungan baharu.
Pada masa ini, terdapat telco yang menawarkan perkhidmatan perlindungan scam pada kadar RM10 sebulan, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat mengenai kewajarannya, memandangkan aspek keselamatan pengguna sepatutnya menjadi tanggungjawab asas penyedia perkhidmatan.






