
PROSES rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah berhubung pelaksanaan Pemberian Khas 40 peratus hasil negeri itu akan diteruskan walaupun Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) Sabah semakin hampir, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, telah mengutus surat kepada Setiausaha Kerajaan Sabah, Datuk Seri Safar Utong bagi memulakan rundingan teknikal berhubung perkara itu, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, rundingan berkenaan akan memberi tumpuan kepada hal teknikal dan perkara berbangkit sementara menunggu pembentukan kerajaan negeri baharu selepas PRU17 Sabah kelak.
“Kerajaan Persekutuan tidak mahu dianggap melengah-lengahkan (rundingan). Proses ini sudah berjalan.
“Sekarang sekurang-kurangnya Johan (sudah) menulis kepada Safar, mengatakan boleh mula runding soal teknikal termasuk perkara yang disebut dalam penghakiman.
“Kemudian dalam jawatankuasa teknikal tentunya dibincangkan untuk rujuk kepada Menteri Kewangan, Ketua Menteri dan Jemaah Menteri, tentunya tunggu sehingga selesai PRU17 dan kerajaan baharu dibentuk.
“Namun, saya tidak fikir ia (PRU17 Sabah) menghalang perbincangan teknikal terlebih dahulu untuk memudahkan perundingan,” katanya pada Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN–Paya Besar) mengenai status rundingan perkara itu memandangkan Sabah ketika ini sedang berdepan PRU17.





