N28 BN Syed Ibrahim Syed Ahmad
KUANTAN – Mulai tahun depan, kerajaan Pahang akan melaksanakan audit kewangan dan pengurusan bagi semua masjid kariah di negeri itu.
Exco Hal Ehwal Agama, Orang Asli dan Kemajuan Desa Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, perkara itu adalah selaras dengan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini.
“Baginda ingin melihat institusi masjid di Pahang mempunyai kemampuan kewangan yang kukuh dan ditadbir secara bersistematik.
“Ini kerana ada masjid memiliki sumber kewangan yang banyak, tapi tidak memanfaatkan kelebihan itu dengan menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan… dan ada juga (masjid) yang langsung tidak ada sumber kewangan.
“Jadi, bila kita buat (audit), kita boleh bantu mereka (pihak pengurusan masjid) membuat perancangan mengikut kemampuan (kewangan) mereka ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program penyampaian Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) kluster agama, masjid dan surau kebenaran Jumaat di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.
Sebanyak 256 masjid dan surau kebenaran Jumaat menerima inisiatif itu dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.56 juta.
Syed Ibrahim bagaimanapun menjelaskan, sebanyak 28 masjid di bawah pengurusan kerajaan negeri sudah lama melaksanakan sistem audit kewangan mereka.
“Masjid bawah (pengurusan) kerajaan Pahang memang kita audit setiap tahun bagi melihat perbelanjaan mereka, sekarang kita nak buat (audit) untuk masjid kariah yang diuruskan sendiri oleh ahli kariah di situ,” katanya.
Mengulas mengenai program berkenaan, Syed Ibrahim berkata, ia adalah kali kedua diadakan selepas fasa pertama berlangsung pada 20 September lalu di Masjid Ar-Rahmah FELDA Jengka 25, dekat Jerantut.
“Hari ini adalah fasa kedua membabitkan masjid dan surau (kebenaran Jumaat) untuk zon Pahang Timur.
“Selepas ini kita akan buat program sama bagi zon Pahang Barat… mungkin hujung bulan ini,” ujarnya.
Secara keseluruhan, kerajaan Pahang menyediakan peruntukan RM6.97 juta untuk tujuan pengagihan IM Pahang kluster agama membabitkan 697 masjid dan surau kebenaran Jumaat, bagi tahun ini.



