
KOTA KINABALU – Orang ramai di sekitar ibu negeri dijemput memeriahkan Program Agrikomoditi & Jualan Agro MADANI yang akan berlangsung pada Jumaat ini di pekarangan Dewan Golden Hotel, Sembulan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk pemberian minyak masak percuma kepada pengunjung bertuah.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, program anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dengan kerjasama pelbagai agensi di bawah Kerajaan MADANI itu dijangka menarik kehadiran ratusan pengunjung apabila menawarkan pelbagai peluang ekonomi, pendidikan dan pekerjaan dalam sektor agri komoditi serta agrotempatan.
“Program ini bertujuan memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap peranan sektor agri komoditi dalam menjana ekonomi negara, di samping menggalakkan penyertaan rakyat dalam bidang yang berpotensi tinggi untuk dimajukan di peringkat komuniti,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini pada Selasa.

Katanya, antara pengisian utama termasuk Taklimat Kesedaran Pengumpulan Minyak Masak Terpakai (UCO) yang memberi pendedahan mengenai kepentingan pengurusan sisa minyak secara lestari, sekali gus membuka ruang pendapatan tambahan kepada isi rumah melalui amalan kitar semula.
“Dalam pada itu, turut diadakan ialah Taklimat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang memberi penjelasan tentang struktur pensijilan dan peluang kerjaya dalam bidang kemahiran, terutama dalam sektor perladangan dan komoditi.
“Menambah kemeriahan program, Jualan Agro MADANI dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menawarkan pelbagai hasil tani segar dan produk tempatan pada harga mampu milik.
“Para pengunjung boleh mendapatkan pelbagai barangan segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan daging tempatan,” ujarnya.
Menurutnya, sebagai galakan tambahan minyak masak percuma turut diberikan kepada pengunjung yang hadir, tertakluk kepada kuantiti terhad.
Program ini turut mendapat sokongan pelbagai agensi termasuk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB); Lembaga Koko Malaysia (LKM); Lembaga Lada Malaysia (MPB); Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC); Agrobank; Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Arus Oil sebagai rakan strategik.



