AS akui hak Malaysia tentukan haluan dasar luar, ekonomi – Duta Besar

AMERIKA Syarikat (AS) menegaskan komitmennya untuk menghormati hak kedaulatan Malaysia dalam melaksanakan dasar luar dan dasar ekonomi negara, termasuk hasrat untuk meneroka peluang kerjasama dengan kumpulan ekonomi BRICS.

Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan berkata, Washington memahami keinginan Malaysia untuk memperluas rangkaian perdagangan dan pelaburan di peringkat global, selaras dengan kepentingan nasional serta matlamat pembangunan jangka panjang negara.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa kemakmuran ekonomi jangka panjang Malaysia masih bergantung kepada integrasi kukuh dalam rantaian bekalan negara Barat, termasuk melalui Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai antara Malaysia dan AS baru-baru ini.

“AS menghargai pandangan Malaysia mengenai dasar luarnya, dan kami mengakui Malaysia mempunyai hak kedaulatan untuk melakukan aspek yang terbaik untuk kepentingannya, dan kami memahami perkara yang mendorong minat terhadap BRICS.

“Pada masa sama, Presiden AS (Donald Trump) telah menyatakan dengan jelas beberapa isu yang tidak boleh dikompromi dan kesan yang mungkin berlaku sekiranya tidak dipatuhi,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

BRICS merupakan kumpulan 11 negara yang terdiri daripada Brazil, Russia, India, China, Afrika Selatan, Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu, Ethiopia, Indonesia dan Iran.

Kagan berkata, meskipun BRICS berpotensi menawarkan manfaat ekonomi tertentu kepada Malaysia, penyertaan negara itu tidak harus dilihat sebagai bertentangan dengan hubungan ekonomi yang semakin mendalam dengan AS.

“Saya tidak melihatnya sebagai zero-sum (satu pihak untung, pihak lain rugi).

“Malaysia boleh mempertimbangkan kemungkinan bahawa wujud manfaat ekonomi dalam beberapa keadaan apabila terbabit dalam BRICS, dan pada masa sama, mengukuhkan hubungan ekonomi yang sedia mantap dengan AS,” katanya.

Menurutnya, integrasi mendalam Malaysia dalam rantaian bekalan Barat, khususnya dalam sektor semikonduktor, teknologi hijau dan pembuatan termaju, merupakan tunjang penting kepada daya tahan serta daya saing ekonomi negara di peringkat global.

“Integrasi ini telah diperkukuhkan dengan ART,” katanya merujuk kepada perjanjian perdagangan yang dimeterai ketika lawatan rasmi Trump ke Malaysia, minggu lalu.

Kagan turut menegaskan bahawa AS kekal komited untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dua hala dengan Malaysia, selain memastikan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap negara ini terus meningkat.

“Presiden Trump gembira semasa berada di Malaysia. Beliau gembira kerana berpeluang melihat sendiri Malaysia, dan hubungan yang terjalin dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita dapat bekerjasama dengan baik,” katanya.

Related Posts

Sabah jadi tuan rumah Mesyuarat MTPMA63 di SICC

KOTA KINABALU – Sabah menjadi tuan rumah Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, pada 11 September 2026.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kota Kinabalu petang ini untuk memulakan lawatan kerja selama dua hari ke Sabah. Ketibaan Perdana Menteri di Terminal 2,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sabah jadi tuan rumah Mesyuarat MTPMA63 di SICC

  • By Ithma
  • September 10, 2026
Sabah jadi tuan rumah Mesyuarat MTPMA63 di SICC

Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan

Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan

Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

Akmal Saleh sedia ‘berperang’ lawan PH di PRN Melaka 

Akmal Saleh sedia ‘berperang’ lawan PH di PRN Melaka 

Wanita perlu diberi ruang lebih besar bantu UMNO bangkit semula

Wanita perlu diberi ruang lebih besar bantu UMNO bangkit semula