
TAWAU – Seorang remaja berumur 16 tahun antara enam lelaki yang ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kejadian rusuhan di kawasan Kampung Kuala Merotai Besar, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 malam apabila seorang lelaki berumur 19 tahun diserang sekumpulan lelaki ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar teman wanitanya.
“Ketika melalui kawasan kampung berkenaan, kenderaan mangsa telah dihalang beberapa lelaki tidak dikenali sebelum dia ditarik keluar dan dipukul beramai-ramai tanpa sebab munasabah.
“Mangsa sempat mengenali salah seorang suspek sebelum membuat laporan di Balai Polis Bombalai,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Menurut Jasmin, bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Bombalai kemudiannya melancarkan operasi memburu suspek di kawasan Kampung Merotai sebelum kesemua suspek diberkas kira-kira pukul 4.05 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara mangsa dan kumpulan suspek sebelum berlaku pergaduhan.
“Kesemua suspek berumur 16 hingga 21 tahun itu direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh,” katanya.







