EBERECHI Eze meledak gol pertamanya dalam saingan Liga Perdana Inggeris bersama Arsenal ketika menentang bekas pasukannya, Crystal Palace, sekali gus membantu The Gunners mengekalkan cengkaman di puncak liga selepas menang 1-0 di Stadium Emirates.
Pemain tengah berusia 26 tahun itu – yang beraksi lima musim bersama Palace sebelum berpindah ke Arsenal pada Ogos lalu – menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-39.
Gol itu hadir selepas tandukan Gabriel Magalhaes jatuh tepat di hadapan Eze yang tenang menolak masuk menewaskan penjaga gol, Dean Henderson.
Kemenangan itu membolehkan Arsenal melanjutkan rekod tanpa kalah kepada enam perlawanan liga dan 10 perlawanan dalam semua kejohanan musim ini.
Anak buah Mikel Arteta kini mengumpul 22 mata selepas sembilan perlawanan, empat mata di depan pasukan di tangga kedua, Bournemouth.






