
KOTA KINABALU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyeru kerajaan Sabah yang bakal dibentuk memimpin pelaksanaan manfaat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melalui tiga bidang teras utama bagi memastikan hasilnya dapat dirasai rakyat secara nyata dan mampan.
Tiga teras yang digariskan adalah formula dan kaedah pembayaran 40 peratus hasil Persekutuan pada Sabah, pelan penggunaan dana hasil melalui Pelan Pelaburan Rakyat Sabah dan pemerkasaan ekosistem pelaksana di peringkat negeri.
Ketua Penerangan AMK Sabah, Mohd Nur Hilmie Milus berkata, melalui teras pertama, Sabah mesti memuktamadkan cara kira yang telus, adil dan teruji termasuk garis masa, kaedah pembayaran serta mekanisme pelarasan berkala mengikut kitaran ekonomi negeri.
Proses ini katanya, perlu dipandu oleh Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) dan disokong dengan dokumen dasar yang boleh diaudit supaya tidak sekadar menjadi angka di atas kertas.
“Kedua, rangka kerja yang digerakkan melalui Pelan Pelaburan Rakyat Sabah hendaklah melibatkan pakar undang-undang, ekonomi fiskal negeri, ahli akademik, pemain industri dan masyarakat sivil dengan indikator keberhasilan (KPI) yang boleh diukur.
“Terakhir, pemerkasaan ekosistem pelaksana dengan menegaskan bahawa tambahan dana menuntut keupayaan pelaksanaan yang lebih tangkas dan berintegriti.
“Ini termasuk reformasi pengurusan projek di peringkat negeri, pengukuhan kompetensi penjawat awam, peluasan audit bebas serta pembentukan dashboard akauntabiliti awam bagi menyiarkan status projek secara masa nyata selain keutamaan juga diberikan kepada penyertaan kontraktor tempatan berkeupayaan dan inovasi pembiayaan,” katanya dalam kenyataan media, pada Jumaat.
Menurut Hilmie, dengan tiga langkah ini, kerjasama strategik kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan akan lebih berfokus iaitu mempunyai formula yang betul, pelan yang jelas dan pelaksanaan yang berkesan.
Dalam pada itu, AMK Sabah turut menzahirkan penghargaan atas komitmen Perdana Menteri, Daruk Seri Anwar Ibrahim atas keseriusan, ketegasan dan keikhlasan dalam meneruskan agenda pembangunan menyeluruh untuk Sabah seiring pelaksanaan semangat MA63.
Jelas Hilmie, di bawah kepimpinan Anwar, Kerajaan MADANI bukan sahaja mengiktiraf MA63 di atas kertas, malah membuktikan iltizam politik dan moral dengan tindakan konkrit demi mengembalikan hak serta maruah Sabah.
“Peningkatan Pemberian Khas Tahunan Sabah kepada RM600 juta, pengambilalihan kuasa tenaga melalui SESB, pemerkasaan agensi pelaksana negeri seperti JKR, JPS dan Jabatan Air Sabah serta penyertaan tetap Sabah dalam LHDN yang mana semuanya menzahirkan keberanian politik dan keprihatinan Anwar terhadap rakyat Sabah.
“Prinsip menghormati proses perundangan berkaitan pemberian khas 40 peratus turut memperlihatkan kepimpinan Anwar yang teguh berpegang pada kedaulatan undang-undang (rule of law) dan memastikan setiap keputusan dibuat demi manfaat bersama, bukan berasaskan kepentingan politik sempit,” ujarnya.
Justeru, AMK Sabah yakin dan percaya Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Anwar, era baharu hubungan Persekutuan dan Wilayah Sabah sedang terjalin atas asas keadilan, kesaksamaan dan pembangunan menyeluruh.
“Kami berdiri teguh bersama kepimpinan Anwar dalam meneruskan agenda pembaharuan demi menjadikan Sabah maju dan makmur dalam kerangka Malaysia MADANI,” tegasnya.







