KUANTAN – Jumlah kes kanser payudara menunjukkan peningkatan setiap tahun di Pahang dengan pesakit muda direkodkan berusia seawal 20-an, kata Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Sabariah Saidan.
Beliau berkata, kesedaran masyarakat – khususnya kaum wanita – mengenai kepentingan pemeriksaan awal dan saringan berkala sangat penting untuk menyelamatkan nyawa.
“Saya menyeru kaum wanita di negeri ini untuk melakukan pemeriksaan sendiri payudara (Breast Self Examination) setiap bulan dan mendapatkan pemeriksaan klinikal di fasiliti kesihatan,” katanya selepas merasmikan sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2025 Peringkat Pahang di sini, semalam.
Sabariah juga memaklumkan golongan wanita digalakkan menjalani ujian saringan mamogram disediakan Kementerian Kesihatan dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Pahang.

Sementara itu, mengulas mengenai program itu, beliau berkata, ia antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat selain memberikan sokongan kepada pesakit kanser.
Katanya, golongan lelaki juga perlu peka terhadap penyakit itu kerana mereka tidak terkecuali daripada risiko yang sama.
Sabariah turut menyeru keluarga, komuniti dan masyarakat memberikan dorongan moral serta mewujudkan persekitaran yang positif untuk memberi semangat kepada pesakit kanser.






