NOTTINGHAM Forest bertindak drastik memecat Ange Postecoglou sejurus kekalahan 0-3 kepada Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di City Ground, malam tadi.
Kekalahan itu menyaksikan Forest jatuh ke tangga ke-17 liga, hanya satu anak tangga di atas zon penyingkiran, sekali gus menamatkan tempoh singkat Postecoglou yang gagal mencatat sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan pertamanya bersama kelab Midlands itu.
Tanda-tanda pemecatan kelihatan lebih awal apabila pemilik kelab, Evangelos Marinakis meninggalkan tempat duduk VIP ketika kedudukan 0-2 pada babak kedua.
Sorakan ‘boo’ bergema sebaik wisel penamat ditiup, manakala Postecoglou hanya mampu berdiri keseorangan di tengah padang sambil bertepuk tangan kepada segelintir penyokong yang masih kekal di stadium.
Dalam perlawanan itu, Pedro Neto menjadi wira Chelsea apabila menyumbat satu gol dan satu bantuan jaringan dalam tempoh tiga minit, masing-masing untuk Josh Acheampong pada minit ke-49 dan dirinya sendiri pada minit ke-52.
Forest melakukan lima pertukaran berbanding aksi sebelum ini, bermula garang di separuh masa pertama tetapi gagal memanfaatkan beberapa peluang keemasan, termasuk dua percubaan Morgan Gibbs White yang tersasar.






