PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) bersikap terbuka dan tidak menghalang sekiranya MIC mahu meninggalkan gabungan itu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO itu berkata, pendekatan itu selepas mengambil kira tiada paksaan terhadap parti komponen menyertai atau keluar dari gabungan itu.
“Kita terbuka, dulu ada 14 parti komponen dalam BN dan tiada paksaan, sama ada untuk masuk atau keluar BN.
“Tentunya mereka (MIC) akan membuat keputusan bijak pada Perhimpunan Agung MIC bagi menentukan gabungan mana yang akan disertai asalkan mereka tidak menyesal di kemudian hari,” katanya, lapor Berita Harian.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Industri Sukan ASEAN di Shah Alam, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, mengenai keputusan sama ada parti itu kekal dengan BN atau sebaliknya, akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Agung MIC, 16 November depan.






