
WARTAWAN Palestin, Saleh Aljafarawi, dilaporkan maut selepas ditembak ketika membuat liputan mengenai pertempuran bersenjata di kejiranan Sabra, Bandar Gaza, pada Ahad.
Memetik laporan antarabangsa, Al Jazeera, menurut sumber tempatan yang dipetik Al Jazeera Arabic, mangsa berusia 28 tahun itu ditembak oleh anggota sebuah kumpulan militan bersenjata ketika insiden berlaku.
Aljafarawi sebelum ini dikenali menerusi laporan video yang disiarkan sepanjang konflik di Gaza.
Agensi pengesahan maklumat Al Jazeera, Sanad, telah mengesahkan kesahihan rakaman video yang tular di media sosial, memaparkan jasad mangsa yang memakai jaket bertanda PRESS diangkut di belakang sebuah trak.
Aljafarawi dilaporkan hilang sejak pagi Ahad sebelum mayatnya ditemukan.
Sumber daripada Kementerian Dalam Negeri Gaza memaklumkan bahawa pertempuran tersebut melibatkan pasukan keselamatan Hamas dan kumpulan militia yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pendudukan Israel.
Menurut sumber itu, pihak keselamatan telah mengepung kumpulan terbabit dan mendakwa kumpulan berkenaan turut menembak pelarian yang dalam perjalanan pulang ke Bandar Gaza dari kawasan selatan.
Walaupun gencatan senjata antara Israel dan Hamas telah memasuki hari ketiga, pihak berkuasa tempatan memberi amaran bahawa keadaan keselamatan di Gaza masih tidak stabil dan berisiko tinggi.
Dalam temu bual bersama Al Jazeera pada Januari lalu, beberapa hari sebelum gencatan senjata sementara, Aljafarawi pernah berkongsi pengalaman menjadi pelarian akibat perang.
Beliau menyatakan bahawa segala peristiwa yang dilaluinya selama lebih 460 hari tidak akan dapat dilupakan.
Beliau turut memaklumkan bahawa dirinya sering menerima ancaman daripada pihak Israel susulan laporan yang disiarkan.
Menurutnya, beliau hidup dalam ketakutan setiap saat dan tidak mengetahui apa yang akan berlaku pada bila-bila masa.
Sejak perang tercetus pada Oktober 2023, lebih 270 wartawan dan petugas media dilaporkan terbunuh di Gaza, menjadikannya konflik paling berdarah melibatkan pengamal media dalam sejarah moden.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Gaza yang berlangsung di Sharm el-Sheikh, Mesir, hari ini.
Sidang anjuran bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi itu bertujuan menghentikan perang di Gaza serta mengembalikan kestabilan dan keselamatan di rantau berkenaan.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Mesir, satu dokumen penamatan perang dijangka ditandatangani semasa sidang berkenaan.
Namun, tiada wakil dari Israel mahupun Hamas dijangka menghadiri pertemuan tersebut.







