
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan Belanjawan 2026 yang diumumkan pada Jumaat sebagai cerminan komitmen serius kerajaan dalam memperkukuh integriti, membanteras rasuah serta menutup ruang ketirisan hasil negara demi kesejahteraan rakyat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya menyambut baik penegasan kerajaan terhadap usaha memerangi rasuah, penyelewengan dan ketirisan yang selama ini menjejaskan hasil serta kemakmuran negara.
Tindakan tegas penguatkuasaan tanpa pilih kasih yang berjaya mengembalikan hasil negara mencecah RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun membuktikan keberkesanan tindakan bersama agensi-agensi penguatkuasaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurut beliau, SPRM amat menghargai langkah kerajaan memperuntukkan lebih RM700 juta bagi memperkukuh keupayaan badan penguatkuasaan, termasuk SPRM, khususnya dalam aspek latihan dan perolehan aset.
Selain itu, katanya, SPRM turut menyambut baik penggubalan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan serta pelaksanaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, yang disifatkan sebagai reformasi institusi penting untuk menambah baik sistem perolehan serta memastikan ketelusan dalam pengurusan dana awam.
“SPRM juga menyokong cadangan kerajaan untuk meluluskan potongan cukai bagi sumbangan kepada program pencegahan rasuah yang diiktiraf SPRM sebagai projek berkepentingan nasional.
“Inisiatif ini bakal membuka ruang kerjasama lebih erat dengan masyarakat sivil dan pihak swasta, sekali gus menggalakkan pembabitan rakyat dalam agenda pencegahan rasuah,” katanya.
Azam menegaskan komitmen SPRM untuk terus melaksanakan mandat secara bebas, telus dan profesional melalui pendekatan pendidikan, pencegahan serta penguatkuasaan yang seimbang.
“Seiring aspirasi Belanjawan MADANI 2026, SPRM yakin bahawa dengan sokongan rakyat, budaya integriti dapat diperkukuh, tadbir urus baik dapat dipertingkat dan usaha pembanterasan rasuah terus diperkasa demi kesejahteraan serta faedah rakyat,” ujarnya.
Belanjawan 2026 bertemakan ‘Belanjawan Rakyat’ memperuntukkan sebanyak RM470 bilion perbelanjaan awam, merangkumi RM338.2 bilion perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion perbelanjaan pembangunan. Selain itu, pelaburan turut melibatkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (RM30 bilion), kerjasama awam-swasta (RM10 bilion) serta badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (RM10.8 bilion).




