
SANDAKAN – Prihatin dengan nasib keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran di Kampung (Kg) Mangkalinau, Jetama Water Sdn Bhd tampil menghulurkan bantuan segera kepada mangsa yang terjejas.
Pengerusinya, Liau Fui Fui berkata, bantuan kecemasan itu merangkumi bakul bencana yang mengandungi makanan asas, barangan keperluan harian, air minuman serta pakaian kepada keluarga terlibat.
Menurutnya, bantuan tersebut adalah langkah awal bagi meringankan beban mangsa sementara menunggu bantuan susulan daripada pihak berkuasa dan agensi berkaitan.
“Syukur, tiada nyawa yang terkorban dalam kejadian ini.
“Kami berharap sumbangan kecil ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Tambahnya, keprihatinan terhadap mangsa bencana merupakan tanggungjawab bersama dan memerlukan tindakan pantas agar mangsa tidak dibiarkan menghadapi kesukaran sendirian.
Terdahulu, kebakaran yang berlaku kira-kira jam 8 malam pada Khamis memusnahkan 17 buah rumah di Kg Mangkalinau dan menyebabkan puluhan penduduk kehilangan tempat tinggal.



