
KUALA LUMPUR – Belanjawan 2026 akan menyaksikan pengembangan dalam perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia meliputi RM338.2 bilion belanja mengurus (OE) Persekutuan; RM81 bilion belanja pembangunan (DE) Persekutuan; RM30 bilion pelaburan syarikat pelaburan awam berkaitan kerajaan (GLIC); RM10 bilion pelaburan awam-swasta dan RM10.8 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).
“Sambil mengekalkan komitmen pada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA), momentum pertumbuhan terus didukung dasar fiskal yang mengembang.
“Belanjawan 2026 akan mengumpul dan mengoptimum sumber negara termasuk dana GLIC, Badan Berkanun Persekutuan dan syarikat MKD melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun lalu,” katanya ketika ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (20260 di Dewan Rakyat, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) separuh pertama tahun 2025 mencatat pertumbuhan memberangsangkan iaitu pada 4.4 peratus.
Menurutnya, kendatipun diasak perang tarif Amerika Syarikat, unjuran semula KDNK 2025 antara 4.0 hingga 4.8 peratus membuktikan ekonomi kita kekal berdaya tahan.
“Ekonomi Malaysia diunjur berkembang lebih rendah antara 4.0 hingga 4.5 peratus, susulan ketidaktentuan ekonomi dunia dan sengketa geopolitik, geoekonomi yang berterusan.
“Lantaran komitmen Kerajaan MADANI memaknai tatakelola, maka diperkenalkan FRA. Dan kini ditambah RUU Perolehan Kerajaan yang sebenarnya mengikat kuasa Menteri Kewangan kerana masih boleh didakwa dan dipantau oleh Tribunal,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Kerajaan MADANI tekal menurunkan defisit fiskal daripada 5.5 peratus (2022); 5 peratus (2023); 4.1 peratus (2024); dan bertekad mencapai 3.8 peratus (2025) selain menyasarkan berlaku penurunan sehingga 3.5 peratus pada 2026.
“Penurunan defisit bermakna jumlah hutang baharu turun dan terkawal: daripada RM100 bilion (2022); RM92 bilion (2023); RM77 bilion (2024), sekitar RM77 bilion (2025), dan diusahakan untuk turun lagi tahun ini. Dengan disiplin berterusan, defisit fiskal tiga peratus mampu dicapai dalam jangka sederhana
Beliau memaklumkan, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan pada tahun 2026 dianggarkan akan meningkat kepada RM343.1 bilion ketimbang RM334.1 bilion, unjuran tahun ini.
“Lazimnya, apabila diperlukan perbelanjaan tambahan untuk prasarana dan bantuan rakyat, akan dikenakan cukai tambahan tapi Kerajaan memilih untuk membaiki tatakelola, termasuk penyasaran subsidi tanpa menambah beban rakyat.
“Dengan menggunakan kaedah sedemikian, kita berjaya melaksana langkah pembanterasan rasuah, mengekang penyeludupan serta memecah tembok dan melumpuhkan kartel,” katanya.







