
KOTA KINABALU – Menjelang Pilihan Raya ke-17 (PRN17) Sabah, rakyat negeri ini diingatkan tidak melupakan kegagalan parti Warisan apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah merundum ke 0.5 peratus pada tahun 2019 iaitu paras terendah dalam sejarah negeri ini.
Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman berkata, di bawah pentadbiran Warisan, KDNK Sabah menjunam daripada 8.2 peratus pada 2017 kepada 1.5 peratus pada 2018 sebelum terus merosot kepada 0.5 peratus.
Beliau berkata, antara 2018 hingga 2020, Warisan melaksanakan dasar populis ‘reformasi hijau’ tanpa analisis ekonomi, pelan peralihan industri dan strategi menggantikan hasil negeri.
“Moratorium pembalakan serta larangan eksport balak mentah dilaksanakan tanpa pelan hiliran atau bioekonomi hingga melumpuhkan seluruh rantaian ekonomi luar bandar.
“Ribuan rakyat hilang pekerjaan, pelabur menarik diri dan pendapatan negeri merosot drastik hasil daripada idealisme hijau yang tidak berpijak pada realiti ekonomi,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Menurutnya, pembangunan lestari tidak boleh dibina atas naratif kosong, tetapi mesti berpaksikan keseimbangan antara konservasi dan kemakmuran rakyat.
Sehubungan itu katanya, melalui model Sustainable Forest Management (SFM) yang terbukti sejak 1997, BN akan memulihkan sektor hutan secara lestari sambil menjana ekonomi melalui bioekonomi, industri hiliran, tenaga boleh diperbaharui dan pelancongan alam semula jadi.






