BINTANG UFC, Conor McGregor, digantung 18 bulan kerana melanggar dasar anti-doping UFC selepas gagal menghadiri tiga ujian doping pada tahun 2024, menurut kenyataan rasmi daripada Combat Sports Anti-Doping (CSAD) semalam.
CSAD menjelaskan McGregor gagal hadir untuk pengambilan sampel biologi pada 13 Jun, 19 September dan 20 September 2024, yang semuanya direkodkan sebagai ‘whereabouts failures’ – kegagalan melaporkan lokasi semasa untuk tujuan ujian tanpa notis.
“Atlet UFC diwajibkan memberikan maklumat lokasi yang tepat pada setiap masa supaya mereka boleh dihubungi dan diuji secara mengejut,” jelas CSAD dalam kenyataan itu.
Penggantungan itu berkuat kuasa secara retroaktif bermula 20 September 2024 – berdasarkan tarikh ujian ketiga – dan akan tamat pada 20 Mac 2026.
CSAD turut menjelaskan bahawa McGregor, 37, ketika itu sedang menjalani pemulihan kecederaan dan bukan dalam persediaan bertarung, serta memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan.
Berdasarkan faktor mitigasi itu, CSAD mengurangkan tempoh penggantungan dari 24 bulan kepada 18 bulan.
“Walaupun terdapat faktor yang meringankan, CSAD menegaskan bahawa ketepatan maklumat lokasi dan kemampuan menjalankan ujian mengejut adalah asas penting kepada kejayaan dasar anti-doping UFC,” tambah kenyataan itu.








